Artikel Sastera: Sastera Melayu – Radikal Menongkah Kemapanan – SM Zakir

Oleh S. M. Zakir
MEMBENTUK pandangan radikal bukan bermakna menentang bentuk atau konvensi yang sedia ada.

Karya-karya yang disifatkan sebagai konvensional tetap berdiri dengan kekuatannya yang tersendiri dalam arus perdana kesusasteraan Melayu.

Karya konvensional ini secara umumnya merupakan karya berbentuk realisme yang memaparkan bentuk tradisi dulce et utile atau `yang manis dan yang berguna’ membina didaktisme langsung dalam konteks hubungan karya dengan khalayak.

Melihat bentuk sastera Melayu moden sehingga penghujung abad ke-20 yang dipelopori oleh penulis-penulis dari Asas 50, penulis dekad 1960-an, 1970-an, dan 1080-an telah membina satu norma penulisan yang berdasarkan bentuk realisme.

Norma penulisan ini membentuk kebiasaan umum dan diinstitusikan sebagai bentuk konvensional iaitu bentuk mapan (establish) `apa yang sedia ada’.

Sastera konvensional merujuk kepada ideal kehidupan yang berkait rapat dengan hubungan manusiawi, alamiah, semula jadi dan vertikal. Ia dibentuk oleh ciri-ciri perlataran realiti persekitaran serta alam fauna dan flora.

Di samping ciri-ciri penstrukturan teks dalam set teknik yang umum, dan pembinaan tema atau pesan yang melihat kepada aspek pembudayaan. Sementara pengukuhan pemikiran di dalam sastera konvensional ini cenderung kepada pembinaan idealogi dan aliran yang khusus.

Dalam masa yang sama ia mencirikan situasi wilayah `tempatan’ yang cantik dan indah tetapi menjerat perjuangan, keperitan dan rentasan takdir yang serba payah di dalamnya.

Dalam konteks sejarah, karya realisme yang menjadi bentuk mapan atau teras kesusasteraan umum secara sejagatnya ini bermula daripada genre pastoral yang muncul di Barat pada zaman pencerahan.

Karya-karya zaman ini ditandai dengan karya-karya buah tangan Milton, Spenser, Sidney, Shelly atau juga Cervantes dengan Don Quixotenya yang mencirikan suasana desa, gembala, fauna serta floranya yang penuh nostalgia dan simbolik.

Ia mencerminkan satu hubungan naturalisasi yang memperlihatkan bahawa manusia dicipta oleh Tuhan dan kekuasaan Tuhan menentukan takdir manusia dan persekitaran alam semulajadinya.

Realisme memberikan hubungan yang jelas tentang warna-warna kehidupan manusia di dalam bentuk yang paling dekat dan langsung dengan realiti. Realisme boleh dikatakan merupakan asas kepada kesusasteraan moden.

Perubahan

Menjelang dekad perubahan era perindustrian, bentuk kesusasteraan mula memperlihatkan beberapa ciri baru atau ciri perubahan yang membentuk klasifikasi baru kesusasteraan.

Terlahir bentuk romantis, absurd, surealis, ekspresionis dan sebagainya. Klasifikasi dilihat penting dalam melihat situasi dunia kesusasteraan.

Dalam pada itu klasifikasi memberikan simbol tertentu kepada aliran pemikiran, persekitaran sosial-ekonomi-politik dan milieu kepengarangan.

Klasifikasi bukan sahaja menjelaskan tentang perbezaan situasi kepengarangan tersebut tetapi juga melihat kepada prinsip keperbezaan tersebut. Levi-Strauss pernah menyebut, `any classification, even a bad one, is better than no classification at all.’

Sastera Melayu moden yang mantap muncul diwakili oleh karya-karya penulis ASAS 50 diikuti oleh penulis-penulis yang membawa jalur fikiran baru seperti Shahnon Ahmad, Arenawati, A. Samad Said, Azizi Hj Abdullah, Abdullah Husain, S. Othman Kelantan, Fatimah Busu, Anwar Ridhwan dan ramai lagi yang banyak mencirikan warna tempatan serta wajah wilayah Melayu yang akrab dengan sifat-sifat alamnya.

Sastera realisme ini – melalui perjalanan masa yang panjang – secara alamiahnya membentuk stereotaip yang menjadi suatu bentuk set nilai dunia kesusasteraan.

Pengukuhan yang meletakkannya sebagai suatu autoriti budaya yang menjadi acuan kepada set nilai tersebut berlaku melalui dua bentuk `permainan bahasa’ iaitu pendesakan (authority of assertion) dan perulangan (gregariousness of repetition).

Permainan bahasa ini disebut sebagai topeng linguistik atau masques langagiers. Pengukuhan ini akhirnya menjadikannya sebagai suatu bentuk `kuasa’ di dalam dunia kesusasteraan.

Namun menjelang dekad awal 1990-an (pecahan klasifikasi dibuat di sempadan ini) lahir karya-karya yang cenderung untuk menyimpang daripada bentuk konvensional ini.

Walaupun kecenderungan untuk menyimpang daripada bentuk-bentuk mapan ini wujud pada setiap dekad tetapi pengklasifikasian terhadap karya-karya yang menyimpang dibuat pada masa yang lebih terkemudian bagi melihat kecenderungan penulis-penulis muda mutakhir yang muncul pada dekad awal abad ke-21.

Beberapa orang penulis yang mempunyai kecenderungan untuk menyimpang daripada bentuk konvensional bereksperimen dengan bahasa, bentuk, gaya mahupun pemikiran yang unik dan tersendiri.

Kekuatan

Tidak salah untuk menamakan karya-karya ini sebagai karya eksperimental. Zaen Kasturi dilihat dengan kekuatan permainan bahasanya; Daeng Ramliakil dengan gaya; Muhd Nasruddin Dasuki dengan bentuk dan bahasa; Marsli N.O kepada gaya dan bentuk; sementara Azmah Nordin dilihat kepada cerita dan gaya.

Kecenderungan untuk menyimpang ini kemudian diteruskan oleh penulis yang lebih terkemudian seperti Zainal Rashid Ahmad, Mawar Shafei, Faisal Tehrani dan Azman Husin.

Zainal menggabungkan bahasa, gaya dan pemikiran dengan idealisme kesasterawanannya. Mawar masih tegar dengan kepayahan istilahnya. Namun jauh berbeza, Azman dan Faisal dilihat membentuk penyimpangan mereka lebih kepada pemikiran dan gaya, bukan lagi dengan kepayahan bahasa atau bentuk yang kabur sifatnya.

Kedua-dua mereka lebih senang dengan bentuk bahasa yang mudah difahami dan terus langsung kepada pembaca. Azman dilihat bergerak di dalam satu rentak yang senada, iaitu dengan `dunia warga kemacar’nya; sementara Faisal dengan pelbagai nadanya – dari underground hingga kepada jihad Islamnya.

Kelahiran karya-karya yang `berani’ ini tidak boleh hanya dilihat dari satu sudut yang mudah dan mengkesampingkan wajah-wajah besar yang tersembunyi di sebaliknya.

Pendekatan pengkritik, pengkaji, penelaah mahupun pembaca yang sering melihat sesebuah karya dari sudut tradisonal dulce et utile selalunya gagal untuk memahami bagaimana sesebuah penyimpangan itu memainkan peranan sebagai ipso facto yang memperlihatkan permainan bahasa yang disebut sebagai topeng linguistik atau masques langagiers itu mewujudkan sebuah dunia kesusasteraan yang besar.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, mutu pengkaryaan penulis-penulis muda (relatif umur) dikatakan amat merosot sekali.

Dakwaan ini ada benarnya, namun dalam masa yang sama juga telah lahir karya-karya yang baik daripada tangan penulis-penulis muda ini.

Nama-nama seperti Saharil Hasrin Sanin, Muhd Lutfi Ishak, Nazmi Yaakub, Saifulizzan Tahir, Saifulizan Yahya, Salman Sulaiman, Siti Jasmina Ibrahim, Sri Rahayu Mohd Yusop, Siti Hajar Mohd Zaki, Amalia Fauza, Juliana Mohamed.

Sementara yang lebih terkemudian seperti Ghafirah Idris, Ummu Hani, Jimadie Shah, Amiza Khusri Yusuf, Anjan Ahzana dan Abdul Rahim Idris menghasilkan karya yang cukup memberangsangkan.

Beberapa penulis lagi seperti Wan Marzuki Wan Ramli, Zanazanzaly, Rozais Al-Anamy terus menghasilkan karya yang menjanjikan.

Namun penelitian yang lebih khusus dalam melihat penyimpangan terhadap konvensi dapat dilihat daripada kehadiran karya-karya Zainal Rashid Ahmad, Saharil Hasril Sanin, Muhd Lutfi Ishak, dan Jimadie Shah memberi cabaran kepada penelaah susastera untuk melihat sisi sastera keluar dari ego konvensional.

Zainal, penulis yang sudah mapan sementara Saharil, Lutfi dan Jimadie adalah bakat yang dicungkil daripada Minggu Penulis Remaja (MPR) DBP.

One Comment Add your own


Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Trackback this post  |  Subscribe to comments via RSS Feed

Laman

Kategori

Pautan

Meta

Kalendar

Oktober 2014
I S R K J S A
« Jan    
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Most Recent Posts

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 108 other followers

%d bloggers like this: