Artikel Sastera: Siapa Pengarang Generasi Baru oleh Muhd Faizal Said

Oleh: MOHD. FAISAL SAID (BH 28/1/99)


Belum ada jawapan yang khusus bagi menerangkan siapakah sebenarnya pengarang generasi baru. Sememangnya sukar untuk membuat satu kesimpulan yang tepat apatah lagi kajian mengenainya amat berkurangan. Pendapat yang ada juga agak kabur dan banyak pertentangan di antara pendapat itu sendiri.

Marsli NO misalnya menggariskan kelompok ini sebagai golongan penulis yang lahir selepas merdeka dan berusia sekitar 40-an atau kurang. Antara lain beliau membariskan Zaen Kasturi, Daeng Ramli Akil, S.M Zakir, Mohd Nasruddin Dasuki, Azmah Nordin dan beliau sendiri, di samping penulis-penulis yang lebih muda seperti Mawar Shafie, Faisal Tehrani, Hizairi Othman, Uthaya Sankar SB dan juga Nisah Hj Haron.

Dengan kata lain, Marsli NO menggariskan pengarang generasi baru sebagai pengarang yang aktif berkarya di sekitar 1980-an dan 1990-an serta hadir dengan gaya dan teknik berbeza dalam mengangkat sesuatu subjek di dalam karyanya. Pengarang-pengarang ini menurutnya, tidak lagi terkongkong di bawah panji realisme sebaliknya melakukan transformasi dari aliran lain seperti surealisme, absurdisme dan neo-realisme (Berita Harian, 8 Oktober 1998).

S. M. Zakir (seperti yang dipetik daripada Tesis M.A. Maharam Mamat, 1998) pula memecahkan pengarang generasi baru kepada dua kelompok utama iaitu penulis yang muncul dengan gaya non-konvensional pada awal tahun 1990-an dan pengarang muda yang bermula dengan karya-karya berbentuk remaja. Kelompok pertama diwakili oleh Zaen Kasturi, Marsli N.O, Daeng Ramli Akil dan S. M. Zakir. Karya-karya yang dihasilkan oleh pengarang-pengarang kelompok ini lebih cenderung kepada yang berbentuk berat, abstrak dan eksperimental.

Kelompok kedua pula adalah pengarang-pengarang muda yang diketengahkan bakatnya daripada Minggu Penulis Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka dan penuntut-penuntut lepasan institut pengajian tinggi. Antara yang sering mendapat tempat di dalam akhbar dan majalah (sastera dan umum) ialah Hizairi Othman, Mawar Shafie, Nisah Haji Haron, Faisal Tehrani dan Uthaya Shankar S.B. Mereka ini kemudiannya meninggalkan karya-karya berbentuk remaja dan mula melakukan banyak pembaharuan dalam penulisan, sesuai dengan latar pendidikan yang mereka terima.

Bagi Faisal Tehrani pula, kelompok Marsli NO (penulis 1980-an) sama sekali tidak boleh dibabitkan dengan penulis “Angkatan 1990-an”. Menurutnya, karya-karya penulis generasi 1990-an lebih sederhana dan tidak terlalu peribadi sifatnya. Karya yang mereka hasilkan juga diimbangi dengan ilmu bantu dan tidak terlalu dirasuk oleh jampi absurdisme dan serapah eksperimental melulu (Dewan Sastera, Mac 1998).

Secara peribadi, saya bersetuju dengan pandangan S. M. Zakir dan Faisal Tehrani. Pendapat kedua-dua pengarang ini ternyata tidak boleh diremeh dan diperlecehkan. Ada semacam kebenaran daripada apa yang mereka perkatakan tentang dua kelompok yang wujud dalam kumpulan generasi baru ini. Apabila ditelusuri dengan lebih rinci ternyata memang wujud perbezaan antara karya yang dihasilkan kelompok Marsli NO dan kelompok yang diistilahkan Faisal Tehrani sebagai Angkatan 1990-an.

Karya-karya pengarang seangkatan Marsli N.O. kelihatan lebih bereksperimen, bersifat ‘sukar-berat’ dan memerlukan sedikit masa untuk memahaminya. Ini terbukti dalam kumpulan cerpen mereka yang sarat dengan muatan falsafah, permainan imaginasi dan alam fikir serta penilaian semula mitos dan sejarah (mungkin tidak melampau jika dikatakan wujudnya unsus-unsur absurd), seperti yang terkandung dalam Korporat (Daeng Ramli Akil), Yuda (Zaen Kasturi), Biduan (Marsli N.O.) dan Merengkuh Langit (S.M. Zakir). Golongan ini juga lebih berani melakukan percubaan, memasuki dunia tanpa latar fizik dan menerapkan aliran kesedaran yang kadang kala di luar logik.

Karya-karya pengarang 1990-an pula kelihatannya lebih bersifat sederhana seperti yang terhidang dalam kumpulan cerpen Siru Kambam (Uthaya Sankar S.B.), Lading Masih Di Tangan (Nisah Hj Haron), Zel (Mawar Shafie), Suami, Lelaki, &… (Hizairi Othman), dan Sehari Dalam Perang (Faisal Tehrani) serta cerpen-cerpen lain. Karya-karya hasil tangan mereka agak lebih mudah disantap khalayak kerana bahan penceritaan mereka tertumpu pada isu-isu semasa, di samping teknik pengolahan yang tidak terlalu individualistik.

Di samping itu, karya-karya hasil tangan pengarang mutakhir ini kelihatannya lebih bersifat realisme. Mereka menggambarkan keadaan semasa masyarakat dengan sebaik-baiknya mengikut gaya dan pendekatan mereka yang berbeza dan bersifat tersendiri. Karya-karya yang mereka hasilkan lebih bersifat realistik dan berpijak di alam nyata. Apa yang mereka bicarakan adalah cerminan pada isu-isu dan persoalan-persoalan yang sentiasa bergejolak dalam masyarakat, sesuai dengan sensitiviti seorang pengarang yang seharusnya peka terhadap persekitaran.

Contoh yang paling jelas adalah cerpen-cerpen hasil tangan Faisal Tehrani, Mawar Shafie, Uthaya Sankar SB dan Hizairi Othman. Kalaupun wujud unsur-unsur absurd dalam karya mereka, sifatnya tidak melampau dan karya tersebut masih mampu dimamah khalayak dengan baik. Misalnya cerpen “Yang Aneh-Aneh” oleh Uthaya Sankar SB, walaupun ada unsur-unsur absurd tetapi masih boleh dinikmati.

Selain itu, karya Angkatan 1990-an kental dengan penggunaan ilmu-ilmu bantu bagi memperkukuhkan muatan karya. Mereka tidak lagi membicarakan tema-tema yang klise tetapi mula melangkah ke hadapan dengan memperkatakan isu-isu yang lebih global dan menyangkut bidang-bidang di luar sastera seperti teknologi maklumat, ekologi, geografi, geologi falsafah, undang-undang, politik antarabangsa dan sebagainya.

Walaupun kehadiran ilmu-ilmu bantu dalam genre cereka (novel dan cerpen) bukanlah sesuatu yang baru, tetapi pendekatan kelompok ini tetap berbeza dengan pengarang-pengarang terdahulu. Sebelum ini, ilmu-ilmu bantu hanya disisipkan dalam karya sebagai satu alternatif untuk menghidangkan ilmu-ilmu di luar bidang sastera di samping hiburan untuk dimanfaatkan khalayak. Bagi pengarang-pengarang generasi baru pula, ilmu-ilmu bantu bukan lagi sekadar sisipan tetapi menjadi bahan utama penceritaan. Fudzail misalnya, acap kali menyajikan khalayak dengan kisah alam siber dan sains komputer melalui cerpen-cerpennya, seperti yang boleh dilihat dalam “Kiamat”, “www.gosip.com.my”, “Agenda” dan “Khemah Penggodaman”.

Mungkin ada yang bertanya, apakah kewajaran persoalan ini ditimbulkan? Saya sebenarnya lebih melihat kesan kepada khalayak sekiranya Angkatan 1990-an terus dilabelkan sebagai sealiran dengan kelompok Marsli NO. Khalayak sastera sudahpun diasuh (mungkin oleh pengkritik-pengkritik) untuk terus menganggap karya-karya hasil tangan pengarang generasi baru sebagai sukar difahami, walaupun sebelum berusaha menikmatinya. Bertitik tolak dari ini, ada kemungkinan khalayak akan mengenepikan karya-karya pengarang generasi baru yang tersiar di akhbar-akhbar dan majalah-majalah tanpa mengira pengarang mana yang menghasilkannya.

Bagi saya ini adalah kerugian yang amat besar kerana karya-karya pengarang Angkatan 1990-an mengutarakan persoalan-persoalan semasa dan terkini serta kental dengan pengetahuan berguna yang boleh dimanfaatkan khalayak. Menekuni cerpen-cerpen Faisal Tehrani misalnya, akan membantu khalayak untuk mengetahui tentang gerakan Yahudi serta penindasan terhadap orang Islam yang sedang berlaku di mana-mana sekarang. Meladeni cerpen-cerpen Fudzail pula, khalayak akan diajar tentang ilmu-ilmu komputer serta didedahkan pada alam siber yang penuh dengan keasyikan.

Kesemua ini hanya akan diperolehi khalayak sekiranya karya-karya Angkatan 90-an dinikmati sewajarnya. Tetapi hakikat sebenarnya tidak begitu. Karya-karya hasil tangan pengarang yang terkelompok dalam pengarang generasi baru selalunya diketepikan khalayak walaupun karya-karya yang ‘sukar berat’ itu datangnya dari dua atau tiga pengarang sahaja.

Faktor inilah yang memanggil saya untuk menegaskan bahawa karya-karya yang dihasilkan pengarang dekad mutakhir atau Angkatan 90-an adalah berbeza dengan karya-karya kelompok 1980-an. Mungkinkah sudah wujud generasi baru dalam dunia kesusasteraan tanah air? Saya belum berani untuk mengesahkan kenyataan itu tetapi kemungkinannya dirasakan sudah ada!

Isnin, 2009 Mei 25

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Trackback this post  |  Subscribe to comments via RSS Feed

Laman

Kategori

Pautan

Meta

Kalendar

Oktober 2014
I S R K J S A
« Jan    
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Most Recent Posts

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 108 other followers

%d bloggers like this: