BARU TERBIT: DAPATKAN SEKARANG

BARU TERBIT: DAPATKAN SEKARANG

DI KALANGAN penulis novel remaja, pasti ramai kenal KHAIRUDDIN AYIP. Dia sifu saya ketika mula-mula menulis novel pada awal tahun 90-an selain Allahyarham Ismail Sarbini, Allahyarham Zailiani Taslim, ( Dua Allahyarham ini satu kelas dan satu sekolah ketika di sekolah menengah). Allahyarham Abdul Ahmad, Allahyarham Dr. Othman Puteh dan beberapa orang lagi.
Khairuddin Ayip tidak lokek dengan ilmu untuk diturunkan kepada sesiapa yang mahu jadi anak muirdnya. Kalau orang lain mendapat sekarung ilmunya, saya bertuah kerana saya dapat berguni-guni ilmunya. Sebab, saya tinggal serumah dengannya ketika zaman bujang selama beberapa tahun.
Bayangkan kalau sehari saya dapat sekilo ilmunya, kalau sudah bertahun, berapa banyak saya dapat ilmunya? Sifu Khairuddin Ayip memang terkenal dengan novel remajanya yang mampu mencairkan jiwa pembaca terutamanya gadis-gadis remaja.
Ramai gadis remaja yang cuba ‘mendekatinya’ kerana terpikat dengan gaya bahasa dan lenggok pengolahan novelnya. Ilmu yang saya dapat, saya praktikkan dan hasilnya saya mampu menghasilkan banyak novel serta pernah memenangi sayembara menulis novel.
Sekarang Khairuddin Ayip sudah jarang menulis novel remaja sebab dia pun bukan remaja lagi. Tetapi ilmu yang saya perolehi itu kalau saya simpan pun rugi juga. Pada mulanya saya hasilkan sebuah ebook berjudul Cara Mudah Menulis Novel dan saya jual di blog saya.
Oleh kerana sambutan menggalakan, ramai menyarankan supaya saya terbitkan menjadi buku supaya senang hendak dibawa kemana-mana. Nah! Sekarang saya sudah terbitkan ebook itu menjadi buku.
Saya hasilkan buku CARA MUDAH MENULIS NOVEL (CMMN) sebagai kelansungan menyebarkan sedikit ilmu yang saya ada untuk dimanfaatkan kepada orang lain. Alhamdulillah beberapa orang penulis yang mendapat tunjuk ajar daripada saya sudah mampu melahirkan novel seperti Ramlah Rashid penulis novel Buku Prima, Zamzam Khan dengan novel yang baru terbit Jayn Jannah dan beberapa orang penulis novel lain.
Menariknya buku ini ditulis prakatanya oleh Prof. Madya Dr. Mawar Safei, Pensyarah Pusat Penyelidikan Bitara Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.
Buku CMMN boleh dimiliki dengan harga RM 25.00. Pos percuma dan tidak dijual di mana-mana kedai buku. Mereka yang berminat boleh whatsApp terus kepada saya di No. HP: 013-3635560 untuk mendapatkannya.
Senang-senang singgahlah di blog saya: http://mnasruddindasuki.blogspot.com

PENGALAMAN MENULIS NOVEL (1)

SEINGAT saya sepanjang lebih 30 tahun dalam dunia penulisan, saya tidak pernah cerita atau tuliskan mengenai pembabitan saya dalam penulisan novel. Bermula dengan menulis sajak di radio sehingga kini saya lebih tumpukan penulisan buku motivasi Islamik dan penulisan di blog.

Untuk kali ini, saya ingin kongsi dengan pembaca bagaimana saya perjalanan penulisan saya, semoga ia boleh dijadikan panduan kepada mereka yang mahu menjadi penulis novel atau buku-buku lain dari pelbagai genre.
Jika ada para pembaca yang ingin memberikan komentar atau pandangan, boleh tuliskan di ruangan ulasan di blog ini. Kita boleh berkongsi maklumat dengan pembaca lain.

Baiklah. Sebagai penulis, saya sudah menetapkan matlamat sejak awal pembabitan. Jika saya menulis sajak pada hari ini, sepuluh atau dua puluh akan datang, mana mungkin saya hanya menulis sajak sahaja?

Saya tidak mahu hanya dikenali sebagai penulis sajak tetapi dalam genre yang lain juga. Banyak cabang dalam dunia penulisan sebenarnya dan kita perlu terokai.

Saya mula menulis sajak sejak di bangku sekolah menengah lagi. Di radio waktu itu ada satu ruangan ‘Bunga Bangsa’ yang disiarkan di Rangkaian Nasional RTM. Dalam ruangan itu banyak diceritakan mengenai kegiatan para pelajar sekolah menengah. Waktu itu saya dalam tingkatan 5, 1976.

Pada akhir rancangan itu akan disiarkan sebuah sajak oleh para pendenar, pastinya ramai di kalangan pelajar. Sajak sajak saya, tajuk tak ingat banyak kali disiarkan di ruangan itu. Saya juga lupa nama penerbit rancangan itu.
Masa itu tulis sajak dengan pen dan kertas kajang, kemudian hantar. Alhamdulillah dapat perhatian.

Bermula dari situ, minat menulis mula membara. Mana-mana rancangan radio yang ada siarkan sajak, saya akan hantar. Alhamdulillah saya sudah mula mencipta nama.
Tidak saja menulis di radio, saya juga menulis sajak di akhbar untuk pelajar. Waktu itu ada ‘Utusan pelajar’ dalam bentuk tabloid terbitan Utusan Melayu (M) Sdn. Bhd.

Terbit setiap hari Khamis dan harganya RM 20.00. saya kenal Utusan Pelajar semasa di sekolah rendah lagi. Saya sebenarnya berlanggan dengan guru sekolah setiap minggu. Cikgu akan beli di pekan dan dibawa ke sekolah.

Bila sudah masuk sekolah menengah, saya cuba menulis sajak di akhbar berkenaan, akhirnya hasil usaha saya beberapa buah sajak dan cerpen saya disiarkan. Waktu itu betapa gembiranya, sukar hendak dibayangkan apabila sebaris nama tertera dalam akhbar pelajar yang ditatap oleh semua pembaca di Malaysia.

Apabila sudah mula mendapat tempat, saya mula menulis sajak di akhbar-akhbar seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan majalah-majalah tempatan. Tetapi nampaknya peluang sajak saya tidak menyerlah. Tak boleh pergi jauh…

Hanya beberapa buah sahaja sajak saya yang sudah disiarkan. Kalau hendak dihitung, mungkin tidak 10 buah sajak yang disiarkan.

Lalu apa saya buat, bila menulis sajak kurang menyerlah?

Bersambung…..

PENGALAMAN MENULIS NOVEL (2)

SEBENARNYA sekitar tahun 70 an peluang penulis terbuka luas. Selain menulis di akhbar, saya menulis skrip untuk rancangan radio. Rancangan yang popular ketika itu untuk penulis mengasah bakat ialah Rancangan Kenangan (Hari Isnin) Melodi Romantika (Selasa) Alam Sentimental (Rabu) Kenangan Mengusik Jiwa (Khamis) dan Bisikan Kalbu (Jumaat).

Semua rancangan itu disiarkan pada waktu malam jam 10.32 malam. Rancangan itu berbentuk kata-kata romantik yang diselang-selikan dengan lagu ke udara selama setengah jam. Boleh dikatakan pada semua rancangan itu saya tulis skrip.

Di situlah saya membina nama. Dua tiga hari disiarkan, saya banyak menerima surat daripada peminat rancangan itu. Sehingga akhirnya apabila rancangan itu ditiadakan, saya mula menulis Skrip Panggung Drama disiarkan setiap hari Ahad jam 1.15 petang sehingga jam 2.00 petang.

Kemudian menulis pula drama yang ke udara selama setengah jam dan 15 minit. Pada masa yang sama saya menulis rencana di majalah dan akhbar. Majalah yang selalu memberikan ruang ketika itu ialah Balai Muhibbah terbitan Jabatan Perpaduan Negara, akhbar Watan, Bintang Timur, Berita Minggu dan majalah lain.

Selain menulis rencana, saya mula menulis cerpen pula. Menulis cerpen, saya tidak belajar dengan sesiapa. Mungkin memang bakat yang ada, hasil penulisan cerpen saya tidak mengecewakan. Hampir kesemua cerpen yang saya tulis dapat menembusi kebanyakan majalah ringan.

Cerpen pertama saya yang berjaya menembusi akhbar perdana ketika itu ialah ‘Cinta Murah’ disiarkan di Berita Minggu sekitar tahun 1980. Selepas itu barulah banyak cerpen saya menembusi Mingguan Malaysia, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Masyarakat dan akhbar Watan. Kebanyakan cerpen yang disiarkan itu ada diterbitkan dalam sebuah antologi cerpen persendirian, terbitan DBP berjudul ‘Purbawisesa.’

Manakala banyak cerpen saya yang disiarkan di Mingguan Malaysia beberapa kali memenangi hadiah utama atau saguhati dalam sayembara anjuran Utusan Melayu dan Public Bank ketika itu.

Kalau hendak dihitung mungkin lebih 100 cerpen saya disiarkan di pelbagai akhbar dan majalah. Boleh dikatakan saya sudah berasa puas menulis cerpen dan beberapa kali memenangi sayembara.

Ya, bermula menulis sajak, saya menulis cerpen kemudian skrip di radio, rencana di pelbagai akhbar dan majalah. Adakah saya sudah berasa puas?
Belum lagi. Banyak lagi ruang menulis yang belum diterokai.
Kepada mereka yang mula menulis sajak, cubalah menulis cerpen, rencana, berita atau skrip drama tv atau radio.

Proses membina nama dalam penulisan bukan memakan masa sehari dua tetapi bertahun…

Bersambung…

PENGALAMAN MENULIS NOVEL (3)

KALAU ditanya, adakah saya sudah puas dengan dunia penulisan yang saya ceburi ketika itu? Jawapannya belum.

Menulis sajak, mungkin paling panjang sehelai atau dua helai muka surat. Menulis cerpen paling panjang pun kira-kira 10-12 halaman. Rasanya macam tak puas menulis sepanjang halaman itu. Saya mencabar diri untuk menulis novel. Menulis novel memerlukan paling tidak lebih 100 – 300 halaman. Boleh ke saya buat? Kenapa tidak?
Orang lain boleh buat!

Menulis novel pun tidak pernah belajar dari sesiapa. Rajin dan banyak membaca novel, itulah ilmu yang ada selain buat kajian sendiri mengenai cara menulis, bahasa dan sebagainya.

Saya cuba menulis novel. Siap tulis novel, terus hantar kepada penerbit. Manuskrip novel ditolak, alasannya mungkin saya tak ada nama atau novel tak bagus. Hantar ke penerbit lain. Pun kena tolak juga. Hantar lagi ke penerbit lain, juga ditolak.

Sudahnya pertama saya itu tidak dapat diterbitkan sampai sekarang. (2017). Manuskripnya pun entah ke mana!
Itulah kalau nak belajar sesuatu tak ada mentor! Main belasah saja..
Kecewa? Memanglah!

Siapa tak kecewa, penat menulis. Ketika itu menulis dengan mesin taip bukan dengan komputer. Kalau salah boleh ‘delete’. Guna mesin taip, kalau salah kena ‘liquite’. Sudahnya manuskrip sudah macam pembalut bungkusan. Kotor, padam sana padam sini.
Tapi ingin sangat nak jadi penulis novel, gagahkan jugak menulis novel dengan mesin taip. Itu pun setelah beberapa tahun menghasilkan manuskrip novel pertama. Sekitar tahun 1985 atau 1986 barulah merasa guna komputer, itu pun masa itu gunakan perisian Wordstar yang gunakan cakera keras.

Akhirnya dengan gunakan computer itu sempat juga hasilkan novel pertama berjudul “Gerimis Masih Di Pipi” diterbitkan oleh Mastika Publisher. Kulit novel yang illustrasinya mirip wajah penyanyi Shiela Majid sedang termenung. Novel itu pun, satu sen tak dibayar.

Tak kisahlah. Masa itu fasal bayaran bukan masalah besar. Yang penting novel dapat diterbitkan dan boleh tunjuk pada kawan-kawan.
Dapat novel itu pun terpaksa beli di kedai dengan duit sendiri dan lama lepas itu, penerbit itu pun bungkus. Walaupun tak dapat bayaran sesen pun tapi ada rasa bangga sebab akhirnya dapat juga hasilkan sebuah novel.
Novel setebal 106 halaman itu berharga RM 2.25 sen.

Bila ingat-ingat balik, macam nak tergelak pun ada. Rupa-rupanya, saya pun ada bakat tulis novel.

Ya, kalau kita tak cuba sesuatu yang baru, macam mana kita nak tahu hasilnya? Macam saya menulis sajak, rasanya saya tak boleh pergi jauh. Saya cuba tulis cerpen, barulah saya tahu saya boleh pergi jauh dengan terhasilnya sebuah antologi cerpen persendirian dan beberapa buah antologi cerpen bersama penulis-penulis lain.

Bersambung…

PENGALAMAN MENULIS NOVEL (4)

TERBITNYA novel pertama ‘Gerimis Masih Di Pipi’ walaupun tidak dapat bayaran (masa itu fasal bayaran tak penting, yang penting novel dapat diterbitkan) ia secara tidak langsung memberikan semangat untuk menulis novel seterusnya.

Siapa yang tak rasa bangga bila novel dapat dijual di kedai-kedai buku? Selepas novel pertama, lahirlah novel-novel seterusnya. Judul-judul novel saya sila lihat di sebelah kanan blog ini. Ada novel yang dibayar dan ada novel yang langsung tak dibayar dan ada novel yang dijual ‘lumpsum.”

Sedar tak sedar, masa itu sudah lebih 10 novel diterbitkan.
Macam mana nak ‘test market’ kita boleh pergi jauh dengan menulis novel? Masa itu mentor saya penulis novel remaja tersohor Khairuddin Ayip. Sekarang dia tak tulis novel lagi tetapi banyak tulis buku-buku rujukan untuk pelajar UPSR, PT3 dan SPM.

Dia sudah pergi jauh ke depan tinggalkan saya. Saya nak kejar, tapi belum tercapai lagi. Dia yang cadangkan saya sertai sayembara menulis novel.
Saya beranikan diri masuk sayembara menulis novel. Sayembara pertama yang saya sertai ialah Peraduan Menulis Novel Ramaja Berunsurkan Islam anjuran Jabatan Perdana Menteri, Bahagian Hal Ehwal Islam.
Dalam sayembara itu novel saya mendapat hadiah Sagu hati berjudul “Mei Hua.’

Berdasarkan novel itu juga saya adaptasikan ke sebuah skrip Panggung Drama TV RTM dengan nama “Panas Bara.” Sekali lagi tuah memihak kepada saya apabila skrip Panggung RTM saya itu memenangi Anugerah Seri Angkasa kategori teleplay terbaik tahun 1987.

Bermula dari situ, saya mula dapat tawaran untuk menulis skrip drama TV. Beberapa buah skrip yang dihantar kepada produser/penerbit ada yang disiarkan dan ada yang senyap begitu sahaja. Lama kelamaan minat saya menulis skrip drama tv berkurangan walaupun saya boleh menghasilkan skrip drama tv.

Itulah, kadang-kadang kita tak boleh tamak dalam semua perkara.
Saya hanya tumpukan kepada menulis novel. Ketika itu penulisan novel dimonopoli oleh penulis lelaki. Hanya beberapa orang sahaja penulis perempuan, tapi yang ramai penulis lelaki. Kemudian saya mencuba menulis novel untuk sayembara menulis novel berunsurkan Alam Sekitar anjuran Jabatan Alam Sekitar.

Kali ini tuah memihak kepada saya apabila novel berjudul “Hijau Kasihnya” mendapat tempat dua. Sebelum itu saya juga ikut sayembara menulis drama pentas tetapi nampaknya tuah saya tidak ada di situ. Saya teruskan menulis novel. Beberapa buah novel saya ada diterbitkan oleh DBP dan penerbit lain.

Selepas itu saya sertai sayembara menulis novel sempena Alaf Baru anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Tuah juga memihak kepada saya apabila novel saya berjudul ,’Arca’ mendapat hadiah Kedua dan mendapat hadiah RM 20.00.

Tidak berhenti di situ, saya juga masuk sayembara menulis novel Sempena 50 tahun DBP, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Novel saya berjudul ‘Langit Angsana’ mendapat hadiah sagu hati. Cita-cita saya ingin mendapat hadiah utama dalam sayembara novel tidak kesampaian apabila saya tidak memasuki mana-mana sayembara selepas itu dan itulah novel kedua terakhir saya.

Kenapa saya tidak menulis novel lagi selepas itu? Tunggu..

Bersambung…

PENGALAMAN MENULIS NOVEL (5)

MENJELANG tahun 2001, sudah ramai penulis wanita menghasilkan novel. Kemunculan mereka secara tidak langsung merancakkan dunia penulisan novel. Manakala penulis novel lelaki sudah mula berkurangan. Walaupun ada yang masih menulis, jumlahnya sedikit. Malah ada yang menulis guna nama perempuan.

Pembaca ketika itu juga di kalangan perempuan. Saya pernah tanya kepada beberapa pembaca perempuan, mengapa mereka lebih suka membaca novel yang ditulis oleh penulis perempuan. Mereka kata, “Hanya perempuan saja yang tahu hati dan jiwa perempuan.

Kalau penulis lelaki nak tulis jiwa perempuan, tak sama. Hanya luaran saja..”

“Oh begitu… saya penulis novel lelaki. Orang lelaki jarang baca novel. Yang suka baca novel orang perempuan..” Tak apalah.

Kehadiran semakin ramai penulis wanita yang menggunakan pelbagainama pena, secara tidak langsung menghilangkan minat saya menulis novel. Saya fikir cukuplah setakat ini saya menghasilkan novel. Lagipun novel yang sudah diterbitkan lebih 20 buah.

Cukuplah…berilah peluang kepada penulis lain pula…
Tidak menulis novel bukan bermakna saya berhenti menulis. Nampaknya rezeki saya dalam penulisan novel beralih kepada menulis buku bercorak buku motivasi Islamik. Ini mungkin sesuai dengan faktor usia yang semakin meningkat. Sudah berusia, takkan nak tulis novel cinta lagi?
Itu kata hati saya. Bukan orang yang kata.

Akhirnya saya dapat peluang menulis buku motivasi Islamik pertama saya berjudul ‘Bahagiakan Hatimu” terbitan PTS Publication & Distributors sebuah buku bercorak agama yakni buku terjemahan dari Bahasa Arab yang ditulis semula ke Bahasa Melayu untuk pasaran tempatan.

Sesudah itu barulah terbit beberapa buku bercorak agama lain dari penerbit yang sama.

Mungkin penulisan buku saya yang bercorak sebegini sesuai dengan usia yang semakin meningkat. Saya mendapat tawaran pula untuk menulis buku dengan Grup Buku Karangkraf. Buku pertama berjudul “Aku Sanggup Duhai Muhammad” yang sehingga kini (2017) sudah masuk cetakan keempat.

Novel saya terakhir dengan penerbit Buku Prima, anak syarikat Karangkraf berjudul ‘Semenjak Kau Datang.’ Selepas itu saya tidak menulis novel lagi. Saya teruskan dengan menulis buku motivasi Islamik dengan penerbit Karya Bestari di bawah naungan Grup Buku Karangraf.

Selepas buku “Aku Sanggup Duhai Muhammad’ saya menulis buku kedua berjudul ”100 Pesanan Terakhir Rasulullah.”’ Buku itu cukup memberi tuah kepada saya apabila sehingga kini (2017) buku sudah dicetak 20 kali.

Buku-buku lain selepas ini berjudul dengan bermula dengan 100, iaitu 100 Jejak Peribadi Rasulullah, 100 Wasiat Rasulullah Kepada Wanita dan 100 Amalan Sunnah Rasulullah. Kesemua buku sudah dicetak ulang dan mendapat status “Best Seller.” Alhamdulillah.

Tiga buku saya dengan Grup Buku Karangkraf meraih status ‘Best Seller’.
Pada entri akan datang saya cuba akan tuliskan Rahsia Buku Best Seller.

Di samping masih menulis buku-buku motivasi Islamik, saya juga menulis ebook mengenai penulisan novel. Rasanya pengalaman menulis selama ini dapat dijadikan panduan kepada mereka yang baru berjinak-jinak menulis novel.

Kesimpulannya, apa yang penting ialah terus menulis dan menulis jangan berhenti. Seperkara lagi, kalua sudah mula menulis, jangan berhenti. Kalau hendak berhenti seperti berhenti di ‘R n R’ boleh tapi lepas itu teruskan perjalanan.
Kalau sudah berhenti menulis, nak sambung semula, ibarat pucuk yang sudah kena cantas. Nak tumbuh bukan senang. Silap-silap tak tumbuh, terus layu.
Ramai penulis yang seangkatan dengan saya dahulu, sudah ramai yang tidak menulis lagi. Sebabnya saya tak tahu…

TEKNIK DIALOG LEBIH BERKESAN

KITA mungkin pernah membaca dalam novel di mana A sedang bergaduh dengan B. Tetapi penulis hanya menulis seperti berikut:

Dalam pertemuan yang tidak disangka-sangka itu, A dengan tiba-tiba membuat tuduhan melulu kepada B. B terpinga-pinga. Walaupun dia tahu selama ini hubungannya dengan A kurang baik tetapi tidak sampai hendak bergaduh.

Tanpa memperdulikan orang sekeliling, A menghamburkan kata-kata kesat.Wajahnya merah padam seolah bara api. B pula hanya mendiamkan diri. Dia hendak bersuara tetapi bimbang akan menjadi lebih hebat lagi.

Akhirnya B tidak dapat menahan perasaan. Dia menghampiri A dan melepaskan geramnya.

Begitulah seterusnya.

Sebagai penulis, alangkah baiknya jika adegan itu disertakan dialog. Yakni, dialog di antara A dan B. Butir-butir dialog itu biar jelas dan pembaca dapat menggambarkan apakah reaksi A dan B yang sedang bergaduh.

Sebagai contoh:

“Aku tak sangka, rupanya selama ini engkau yang menjadi gunting dalam lipatan, Siah!” Amirah bercekak pinggang. Dia berdiri hampir satu meter ketika pertemuan yang tidak disangka itu.

“Eh! Apa yang engkau cakap ni Mirah? Aku tak fahamlah…” Asiah bersuara perlahan sambal sepasang matanya menoleh ke kiri dan ke kanan. Dia bimbang jika ada orang mengenalinya.

“Eleh….pura-pura tak faham? Senyap-senyap engkau keluar dengan Fatah, engkau buruk-burukan aku, kononnya aku ini tak tahu malu. Terhegeh-hegeh nakkan pelakon hensem tu! Sudahlah, aku dah tahu semuanya….” Amirah memandang ke arah lain.

Dia menyampah betul melihat sahabat baiknya satu ketika dulu, kini sudah menjadi musuh ketatnya. Bertemu secara kebetulan di pusat membeli belah itu, dia tidak melepaskan peluang untuk menyatakan apa yang terbuku di hati.

“Kau ni dah difitnah, Mirah. Aku tak pernah pun kata seperti yang kau cakap tu!”

“Aku kenal siapa kau Siah…sudahlah. Mulai saat ini, kita putus kawan!” Amirah beredar.

Apabila dituliskan adegan seperti ini, pembaca akan mudah menangkap dan membayangkan bagaimanakah keadaan Amirah dan Asiah ketika itu. Adegan seperti inilah yang kita selalu lihat dlaam drama di kaca tv.

Babak pergaduhan bukan hanya melalui pemceritaan sahaja, tetapi penulis menggambarkan suasana sekitaran secara terperinci.

Suasana adegan seperti ini lebih berkesan di hati pembaca berbanding tiada dialog diucapkan.