TIP MEMULAKAN MENULIS NOVEL

DALAM  satu bengkel penulisan novel, seorang penceramah telah membawa satu kotak sebesar  1 X 1 kaki persegi ke dalam bilik bengkel. Kotak itu diletakkan di atas meja supaya dapat dilihat oleh perserta bengkel yang duduk di pelbagai sudut. Rupa-rupanya kotak itu adalah bekas kotak yang berisi  ‘rice cooker’ atau  periuk nasi elektrik.

             Ramai peserta bengkel yang kebanyakkan baru hendak belajar menulis novel, beranggapan mungkin penceramah itu baru membeli periuk nasi itu sebuah kedai elektrik berhampiran  dan tidak sempat menyimpan di dalam kereta, lalu di bawa terus ke bilik bengkel. Tetapi mengapa kotak itu diletakkan di atas meja? Tidak bolehkah kotak itu diletakan di bawah meja? Atau dia hendak menunjuk yang dia baru membeli periuk nasi yang baru?

            Apa yang pasti tidak ada seorang peserta bengkel yang seramai 30 orang itu berani bertanya? Setelah bersedia untuk meneruskan bengkel selepas berhenti rehat makan tengah hari dan solat zohor, penceramah itu bertanya, “Mengapa saya letakkan kotak ini di atas meja?”

            Penceramah itu memandang seorang demi seorang peserta bengkel. Setelah agak lama sepi, seorang peserta lelaki bangun dan memberitahu, “Supaya peserta bengkel dapat menulis mengenai kotak itu dari sudut yang dilihatnya.”

            “Kamu bijak! Mulai sekarang saya hendak kamu tulis mengenai kotak ini. Maksud saya, warna apa, tulisan apa dan apa saja yang kamu fikir dan nampak dari tempat kamu duduk. Kemudian tulis  dan serahkan kepada saya. Saya hendak tahu apa yang kamu tulis,” ujar penceramah yang berusia dalam lingkungan 50 an itu.

            Tanpa berlengah peserta penulisan bengkel itu menulis di sehelai kertas yang diedarkan. Kira-kira sepuluh minit kemudian, kertas itu dikumpul dan diserahkan. Penceramah itu mengambil masa kira-kira lima minit untuk membaca sepintas lalu apa yang ditulis oleh perserta bengkel.

            “Terima kasih kerana kamu semua berjaya menulis apa yang saya minta. Tetapi saya hendak memberitahu, kamu cuma menulis apa yang kamu lihat sahaja. Jika dalam istilah penulisan novel, kamu hanya menulis secara luaran atau kulit  sahaja tidak memasuki roh cerita. Kamu tidak kreatif kerana tidak berfikir dan membayangkan apa yang ada di dalam atau di sebalik kotak ini,” jelas penceramah itu lagi.

            “Jadi apa yang kami tulis itu salah?” Tanya salah seorang peserta bengkel wanita yang duduk di hadapan sekali.

            “Apa yang kamu tulis tidak salah cuma tidak lengkap. Jika kamu hendak bercerita tentang laut, kamu hanya bercerita mengenai permukaan laut yang membiru, ada perahu atau kapal sedang belayar  serta burung yang berterbangan di atas air tetapi kamu tidak bercerita apa yang ada di dasar dan dalam laut,” jelas penceramah. Ramai peserta mengangguk faham.

            “Jadi, apa yang sepatutnya kami tulis?” tanya peserta bengkel lelaki bercermin mata yang duduk di belakang sekali.

             “Untuk menjadi penulis mesti peka, kreatif, tajam fikiran, lebih tahu daripada pembaca. Kita jangan menulis apa yang kita nampak sahaja,” balas penceramah itu lagi.

            “Bolehkah saudara penceramah memberikan satu contoh?” tanya peserta lelaki yang bertanya tadi.

            “Saya ambil contoh. Kita membaca cerita di dalam akhbar, di mana seorang wanita mengandung yang mati akibat jatuh dari motosikal kerana tas tangannya diragut seorang lelaki.  Peragut itu dapat lari  dan wanita yang maut itu meninggalkan dua anak perempuan dan suami yang baru dikahwininya kira –kira setahun lalu.”    Penceramah itu menjelaskan sambil menuliskan sesuatu pada papan putih di bilik bengkel itu.

            Setelah menulis sesuatu dan meletakan ‘white board marker’, dia menyambung, “Cuba kamu terangkan kepada saya, apa yang akan kamu tulis untuk dijadikan novel berdasarkan cerita ini? Siapa boleh beritahu saya?”

            Seorang peserta wanita yang senyap sejak tadi mengangkat tangan dan memberitahu, “Saya akan tulis  mengenai wanita itu yang baru balik bekerja, kemudian melalui jalan sunyi lalu diragut. Kemudian dia terjatuh apabila motosikalnya bertembung dengan kereta lain yang kebetulan lalu di situ.”

            “Itu boleh, tetapi itu samalah dengan kamu menulis mengenai kotak itu. Cerita yang hanya kamu baca nampak saja. Jika kamu ingin menjadi seorang penulis, kamu mesti menceritakan apa yang tidak diceritakan  oleh akhbar itu. Contohnya  kamu boleh bercerita, sejak mula wanita itu berkahwin. Setelah mempunyai dua anak dia bercerai dengan suaminya kerana suaminya ada perempuan lain. Dua tahun menjadi ibu tunggal dan suaminya tidak memberi nafkah kepada anak-anak, dia bekerja kilang untuk menyara hidup. Ketika bekerja, dia berkenalan dengan seorang pemuda dan berkahwin. Dua anak perempuan itu tinggal bersama dengan suami barunya itu. Tetapi malang ketika, dia hamil sulung dengan suami yang kedua, dia menemui ajal akibat angkara peragut.”

            “Saya rasa cerita itu boleh dikembangkan, saudara penceramah…” celah seorang perserta bengkel yang lain.

            “Ya memang boleh. Apa terjadi selepas itu? Dua anak perempuan yang bersuia 12 dan lima belas tahun itu terpaksa tinggal dengan ayah tiri. Ini akan menimbulkan masalah. Di sini timbul konfllik. Konflik inilah yang akan mengembangkan cerita. Sudah tentu pihak lain akan campur tangan. Mungkin bapa kanak-kanak itu akan mengambil dua kanak-kanak itu atau keluarga sebelah ibu menuntut untuk menjaga kanak-kanak itu. Semakin banyak konflik, semakin banyak idea boleh dikembangkan. Tugas penulislah untuk menyusun konflik satu demi satu dan menyelesaikannya.”

            “Saya dapat tahu, konflik yang banyak dapat menghidupkan sesuatu cerita dalam novel, betulkah begitu?” Tanya peserta yang lain pula.

            “Benar. Tanpa konflik novel menjadi hambar, selagi mana konflik boleh ditimbulkan, timbulkan kerana ia akan memanjangkan novel  tetapi hendaklah diselesai satu persatu. Okey, kita teruskan, apakah yang akan terjadi selepas itu. Katakanlah kanak-kanak itu tinggal bersama bapa dan ibu tirinya. Pasti akan timbul masalah lain pula. Begitu juga jika  kanak-kanak itu tinggal dengan nenek mereka, masalah akan tetap ada. Atau seorang daripada mereka memilih tinggal dengan bapa dan ibu tiri dan seorang lagi memilih untuk tinggal dengan nenek mereka. Sudah masalah lain pula akan timbul. Apa masalah itu, kebijaksanaan penulislah untuk mencetuskan masalah dan penulis pula yang akan menyelesaikannya. Semua faham ya?”

            Ramai peserta bengkel sudah faham mengapa kotak itu dijadikan model untuk menceritakan sesuatu  supaya penulis tidak menulis mengikut apa yang dilihat saja.

            “Bagaimana pula mahu memulakan menulis novel ini? Setiap penulis pasti mempunyai cara yang berbeza. Pelbagai cara boleh digunakan. Teknik imbas kembali boleh digunakan jika saudara sudah mahir menulis novel. Contohnya kita mulakan apabila dua kanak-kanak tadi sudah dewasa, dia akan teringat peristiwa sebelum dan selepas kematian itu mereka, kes perceraian ayah dan ibu mereka, kemudian mereka menjadi kes rebutan di antara ayah dan nenek mereka. Di akhir cerita mereka berjaya menjadi orang berguna setelah mengharungi hidup susah bersama  nenek, manakala ayah yang mengabaikan mereka akhirnya berjumpa dengan anak-anak ini meminta belas ehsan setelah  dihalau oleh isterinya. Siapa boleh tambah?”

            “Kalau saya, Saya akan mulakan cerita dari tengah-tengah, iaitu selepas kematian ibu mereka. Ketika mereka menjadi rebutan ayah dan nenek mereka, mereka teringat  pada masa kecil, bapa mereka sering memukul arwah ibunya dan memukul mereka, menyebabkan mereka tidak mahu tinggal dengan ayah sendiri. Mereka memilih tinggal dengan nenek. Apabila berjaya dalam hidup, ayah mereka datang menagih kasih anak. Sebagai anak yang disemai dengan didikan agama, mereka menerima keadaan ayah mereka,” ujar peserta bengkel itu.

            “Seperkara lagi, orang telah meragut  itu juga boleh ditimbulkan. Akibat peristiwa itu, dia rasa bersalah apabila ibunya juga menjadi mangsa ragut orang lain dan meninggal dunia. Dia insaf dan saat itu dia berusaha untuk menolong orang lain. Malah pada satu ketika watak ini wujud membantu dua kanak-kanak Madang di mana dia pernah meragut tas tangan ibunya. Cerita dalam novel sebenarnya saling berkaitan. Itulah cerita yang menarik. Cerita tidak lurus seperti pokok pinang tetapi mempunyai ranting di mana akhirnya saling bercantum,” tambah penceramah itu lagi.

            “Kalau menulis mengikut urutan cerita, bagaimana?” Satu soalan kedengaran.

            “Okey, itu satu cara yang mudah. Boleh kita menulis cerita ini mengikut kronologi seperti yang telah saya jelas tadi. Sebagai penulis baru, saya sarankan menulis mengikut urutan cerita supaya tidak terkeliru. Sebenarnya ada tiga cara untuk menulis novel. Pertama menulis mengikut kronologi. Kedua memulakan dari pertengahan cerita, kemudian imbas kembali pada awal cerita dan seterusnya  menuju ke akhir cerita dan ketiga menulis di akhir cerita kemudian imbas kembali dari awal sehingga pertengahan.  Begitu yang dapat saya buat pembandingan bagaimana mahu menulis cerita dan cara bercerita. Sebaik-baiknya kita menulis dan berfikiran bukan  hanya di luar kotak. Susurilah di dalam kotak, telitilah  apa yang ada di dalamnya.

            “Baiklah, jika saya minta kami semua tulis apa yang ada di dalam kotak ini, sudah tentu  jawapan berbeza sebab tidak nampak berbanding dengan tadi. Kita jangan fikir jika di luar kotak  ada gambar periuk nasi, di dalam juga mesti periuk nasi, mungkin ada benda -benda lain. Semua itu terpulang kepada kekreatifan kamu menulis.”

            Demikian kita ajar  supaya tidak menulis apa yang kita lihat saja. Imaginasi yang tajam juga penting untuk meneroka apa yang tidak kelihatan.

About muhdnasruddin

Writter
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s