Catatan Dari Blog Luqman Hakim

Isnin, 2009 Mei 25

Apa Ada Dengan Sastera

Hujung minggu lepas, saya berkesempatan menyertai teman-teman berkumpul di Ayer Keroh sempena PPMN 09, pertemuan yang saya kira penting dan besar, terutamanya dalam mengambil kira gerakan dan nasib sastera kontemporari. Sekadar himpunan anak-anak muda? Tentunya, siapakah yang peduli jika anak-anak muda yang penting yang berkumpul dan memperkatakan suatu wadah yang sering dilihat oleh masyarakat sebagai eksklusif dan terpencil, malah semakin terhakis kewujudannya di sekolah-sekolah seluruh negara ini.

Selepas perhimpunan di Tanjung Piai pada 05 lalu, saya kira pertemuan kali ini amat penting dalam usaha penggiat sastera memikirkan apakah sastera sekadar minat atau wadah perjuangan, membawa visi dan misi tersendiri dalam menongkah persekitaran kemanusiaan dan politik semasa, sebagai suatu gerakan massa yang gagah dan disegani.

Suara anak muda sepatutnya membawa suatu nada dan itrama baru dalam kehidupan kontemporari, tidak sebagai perintih dan peminta yang mengharap jasa baik dan ihsan. Sastera dan bidang penulisan secara keseluruhannya harus kelihatan gagah dan kuat, suara yang mencetuskan rasa gerun dan hormat.

Hakikatnya, banyak hambatan yang tidak menyebelahi sastera dan penggiatnya pada zaman kontemporari, tetapi itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk menjadi manusia daif dan pesimis. Dan jika sastera sudah wujud sejak sekian waktu, merentasi zaman dan ketamdunan, apakah ia sudah tidak dapat bertahan hatta bagaikan bertongkat tangan, kaki, jari atau apa jua?

Sastera perlu bebas, merdeka dan tampil dengan kendiri dan rupanya yang khusus, dan begitu juga, penulis muda perlu tampil untuk membawa tanggapan bahawa mereka menjadi penggerak yang menjadi pencorak kepada kelangsungan sastera. Maka, lupakan soal penulis mapan atau berpengalaman kerana sekian banyak penulis terkemuka dengan karya terbaik pun muncul pada zaman muda, sama seperti kebanyakan penulis muda yang menggerakkan perhimpunan di Tanjung Piai dan penggerak belakang tabir pada tahun ini yang mencipta nama selewat-lewatnya pada awal umur 20-an.

Secara peribadi, saya merasakan, penyertaan kali ini merupakan penghujung pembabitan dalam gerakan yang dinamakan sebagai dinamisme kelompok anak muda, selepas merasai segala turun naik sejak membabitkan diri hampir genap dua dekad. Sbagai anak muda dulu saya mempunyai keinginan dan semangat untuk berkarya dan menguji keupayaan dan bakat penulisan saya pada tahap paling tinggi, dan sebahagian besarnya pembabitan saya itu disebabkan mencari kepuasan dan memenuhi gejolak rasa yang sering mengasak dan meronta.

 Tentunya juga beberapa anugerah sastera yang dimenangi merupakan suatu kenangan untuk mencuri tempat dalam barisan gerakan sastera yang sudah dikuasai nama seperti Zaen Kasturi, Muhd Nasruddin Dasuki, Daeng Ramli Akil dan tentunya SM Zakir, serta tidak ketinggalan Mawar Shafei, Uthaya Sankar, Selina Lee, Chai Loon Guan dan beberapa nama penulis keturunan Siam pada ketika itu.

 Di celah-celah nama itu, saya hanya seorang manusia kecil yang tidak memikirkan untuk menjadi pesaing, sebaliknya, mencari titik nama sendiri dalam kanvas sastera negara, dan sehingga sekarang, saya hanya manusia kerdil dalam arus sastera perdana.
Kini, saya memikirkan untuk melalui jalan sendiri dalam sastera dan penulisan, tidak untuk memburu ruang dalam akhbar atau majalah, serta hadiah sastera, dan menyedari sastera dan penulisan membuka pintu rezeki kepada saya sejak beberapa waktu kebelakangan ini. Tentunya, siapakah yang menduga bidang yang pada suatu ketika dulu pernah saya tinggalkan – pernah untuk tidak mahu menggelumanginya – sebenarnya, tidak boleh dipisah dalam erti kata sebenar.

Kepada teman-teman yang membawa aspirasi anak muda sastera, saya mengucapkan selamat berjuang untuk kalian! Sastera tidak memberikan apa-apa sehingga anda merasai kehilangannya dalam hidup.

Posted by Luqman Hakim QA at 20:49

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s