Cerpen B. Minggu – G BUN C

Cerpen Berita Minggu

 Cerpen ini telah disiarkan di BERITA MINGGU

pada  14 Januari 2007

Judul:  G Bun C

Oleh: Muhd Nasruddin Dasuki

KETIKA seorang anak kecil bernama G Bun C  itu berkata kepada ayahnya, “Aku ingin mengembara ke dalam hutan kerana ada sesuatu yang perlu dibawa keluar.” Lalu berkata ayah kepada anak berusia dua belas tahun itu, “Usia kamu terlalu kecil untuk tujuan itu seumpama membawa keluar sesuatu yang berharga di dalam perut bumi.”

            G Bun C yang sudah bersiap-siap untuk meneruskan hajatnya, di samping satu bungkusan yang sudah dipikul di bahunya segera menjawab, “Kecil atau besar bukanlah persoalannya  tetapi  keberanian, semangat dan tanggungjawab itu lebih utama sebagai anak lelaki.”

            “Ayah tidak akan mengizinkan kamu bersendirian meredah hutan belantara hanya percaya kepada satu mimpi, ada sesuatu yang kamu tidak tahu apakah itu yang mesti dibawa keluar,” tegas suara  C C Pan. Dia sudah berdiri tercegat di hadapan anak ketiganya sebagai langkah menghalang hajat anak kecil berjiwa besar itu.

            G Bun C  mundar mandir selangkah ke hadapan kemudian berpusing ke belakang seolah-olah sedang bertawaf. Dengan hanya berbekalkan sebilah lembing dan parang yang tersisip di pinggang, dia berlagak sebagai seorang pendekar.

            “Wahai ayahku! Bukankah anak lelaki seusia aku ini, sudah layak untuk membuktikan  aku ini keturunan orang-orang yang berjiwa besar? Lupakah ayahku akan sejarah keturunan nenek moyang kita dahulu, hanya berbekal kapak dan parang mampu untuk membuka negeri ini?” G Bun C mencacakkan lembing ke tanah sambil bercekak pinggang. 

            Sambil memberi isyarat kepada empat orang suruhannya supaya mengawasi pergerakan anaknya itu, C C Pan berkata, “Memang benar akan kata-katamu itu wahai anakku. Datuk moyang kita mampu menerangkan belantara sehingga menjadi perkampungan seperti ini. Tetapi itu dahulu.”

            “Perjuangan dan semangat tidak akan berubah walaupun tahun bertukar ganti. Perjuangan walaupun lain bentuknya, semangat tidak sepatutnya berkubur,” balas G Bun C sambil memerhatikan alam sekeliling.

            Mentari sudah menyinar di sebalik perbukitan. Semakin lama membiarkan masa berlalu, semakin terbuang masa yang berharga. 

            “Kalau sudah begitu kehendakmu, anakku, akan ayah suruh tiga orang suruhan ayah menemani kamu. Sekiranya berlaku apa-apa kepada kamu, suruhlah salah seorang daripada orang suruhan itu kembali ke kampung ini memaklumkan apa  yang berlaku,” kata C C Pan seraya memerintahkan orang kanannya menyediakan tiga orang suruhan menemani perjalananan anaknya itu.

            “Di hadapan ayah dan di hadapan orang-orang yang ada sekalian, aku berjanji, aku tidak akan pulang selagi tidak membawa apa yang aku hajati. Percayalah datuk nenek moyang kita dahulu bukankah bangsa pengembara merentas belantara untuk membuka negeri? Ini cucu cicitnya yang akan meneruskan budaya moyang kita untuk meluaskan empayar bangsanya,” jawab G Bun C sambil menepuk-nepuk dadanya.

            Semua orang yang ada di situ kagum dengan keberanian budak dua belas tahun itu sedangkan mereka yang sudah berusia masih lagi seperti katak yang terkongkong di dalam tempurung kelapa.

            Berangkatkan G Bun C dan tiga orang suruhan memulakan langkah meninggalkan kampong halaman.

EPISOD 2

Tiga hari tiga malam perjalanan merentas danau, belukar, hutan dan belantara akhirnya G Bun C memilih satu tempat berhampiran aliran anak sungai untuk mendirikan pondok. Pondok itu beratapkan daun-daun, berdindingkan kayu bertam dan bertiangkan kayu-kayu keras.

            Pada waktu siang G Bun C serta tiga orang suruhannya akan meredah hutan sambil mencari-cari apakah harta yang sepatutnya dibawa keluar. Dia puas berfikir siang dan malam tetapi tidak menemui jawapannya.

            “Pada pendapat kamu, apakah harta di dalam hutan ini yang boleh dibawa keluar?” Tanya G Bun C kepada Wai N C, anak muda berusia 28 tahun itu seraya berbaring di dalam pondok bercahayakan pelita damar.

            “Pada hemat saya yang bodoh ini, harta apalah yang ada di dalam hutan ini? Kita sebenarnya membuang masa mencari sesuatu yang tidak ada wujud. Kita diperbodohkn oleh fikiran kita sendiri,” ujar Wai N C seraya menenyeh-nenyeh kelopak matanya yang semakin kuyu.

            “Amat malanglah sekali nasib aku ini kerana ayahku memberikan orang suruhan yang bebal seperti kamu. Tetapi tidak mengapa, manusia bebal seperti kamu sudah pasti ada gunanya,” balas G Bun C sambil memerhatikan cahaya bulan purnama yang menerobos atap daun-daun.

            “Bagaimana pula dengan pendapat kamu wahai Kap Cai C?” G Bun C bertanya pula kepada orang kedua suruhan ayahnya. Anak muda yang lewat usia empat luluh tahun itu masih terkelip-kelip mata seperti  bintang di langit.

            “Saya percaya, harta yang dimaksudkan itu bukanlah barang-barang berharga atau harta karun di dalam perut bumi tetapi harta yang berharga dan tidak ternilai,” jawab Kap Cai C yakin.

            G Bun C terdiam sejenak.  Dia menggaru-garu kepalanya. Dia kemudian memandang orang suruhan ketiganya sambil berkata,” Bagaimana pula dengan pendapat kamu?” G Bun C bangun menyandar ke dinding kayu.

            “Saya pula berpendapat, di dalam hutan ini memang ada tersimpan harta karun. Cuma kita tidak tahu, di manakah kedudukannya?” Jawab B C Nang yakin.

            “Bukan di tempat yang sedang kita bermalam ini?” Tanya G Bun C untuk memastikan kebenaran telahan B C Nang.

            “Saya tidak tahu G Bun C!”

            “Bagaimana kamu tidak tahu sedangkan kamu tahu di dalam hutan ini ada tersimpan harta? Adakah pendapat kamu itu boleh diterima?”

            “Kalaulah saya tahu, lebih baik saya seorang diri masuk ke dalam hutan ini dan mengambil harta itu. Bukankah nanti saya juga yang akan kaya?”

            G Bun C termenung seketika. Sejurus kemudian dia bersuara,” Benar juga akan kata-kata kamu itu atau kamu memang tahu tetapi kamu sengaja tidak mahu memberitahu tahu!”

            “Saya ini hanyalah orang suruhan, bukan orang yang memerintah. Kalau saya orang yang memerintah,  tentu sudha lama saya terangkan hutan ini menjadi sebuah negeri.”

            G Bun C termenung seketika. Bunyi cengkerik dan unggas hutan semakin jelas kedengaran.

            “Bagaimana jika belantara ini kita terangkan menjadi sebuah negeri?”

EPISOD 3

Sudah lebih tiga ratus enam puluh enam hari G Bun C serta tiga orang suruhannya berada di dalam hutan. Sekitar tempat dia mendirikan pondok, sudah terang. Sehari menebang sebatang pokok dan menanam biji benih yang dibawa sudah cukup untuk melihat tempat yang dahulunya penuh ranjau dan duri menjadi perkebunan.

            Kerja sehari-hariannya adalah berkebun serta menerangkan hutan. Dari sebesar sekangkang kera sehinggalah seluas padang jarak. Oleh kerana terlalu asyik, sehingga dia lupa mencari harta sebagaimana tujuan asalnya.

            “Esok dan hari-hari seterusnya, kita akan besarkan anak sungai ini sehingga menjadi sungai. Ia akan memudahkan kita berulang alik ke hulu.” G Bun C memerintahkan tiga orang suruhannya ketika berehat selepas makan tengah hari.

            “Bukankah itu kerja sia-sia? Untuk apa kita lebarkan anak sungai? Bukankah nanti akan ada orang tahu bahawa di sini ada orang membuat perkampungan? Mereka akan datang dan akan mengganggu kita?”  Wai N C  mengusulkan buah fikirannya sambil berbaring kerana kepenatan selepas penat bekerja.

             “Kalau kita mahukan tempat ini dijadikan sebuah negeri, kita perlukan orang ramai untuk datang ke sini. Jika kita berempat sahaja mendiami tempat ini, sampai bilakah  tempat ini akan menjadi sebuah negeri?” sahut Kap Cai C seraya melihat Wai N C yang sudah terlena.

            “Benar sekali akan kata-kata kamu itu. Fikiran kamu lebih jauh ke depan. Sayang sekali kamu hanya orang suruhan. Jika kamu orang yang memerintah, mungkin satu hari nanti kamu akan memerintah negeri,” kata G Bun C.

            “Semalam ada sekumpulan pengembara sesat di hutan sehingga ke mari. Mereka memohon izin untuk tinggal di sini.” B C Nang memberitahu.

            “Apa kata kamu?”

            “Saya kata, tinggallah. Di sini bukan tempat larangan.”

            G Bun C mengangguk.

EPISOD 4

Masuk hari itu sudah  enam tahun, sembilan bulan  dan sepuluh sembilan hari G Bun C dan tiga orang suruhannya  tinggal di hutan belantara itu. Usia G Bun C sudah menjangkau 18 tahun. Dia sudah cukup dewasa untuk berfikir yang menyuruh orang-orang suruhannya mengikut arahannya.

            Kawasan yang dahulunya seluas padang jarak kini sudah menjadi sebuah  perkampungan besar dengan penduduknya yang semakin bertambah. Oleh kerana dia orang yang mula-mula membuka kawasan itu, penduduk-penduduk kampong telah mengangkatnya sebagai kepala kampong.

              Cita-citanya besar untuk menjadikan perkampungan itu sebuah negeri.

            Pada satu hari seorang lelaki dengan tujuh orang pengikutnya datang ke perkampungan itu mendakwa G Bun C dan empat orang suruhannya telah menceroboh kawasan itu. Dia menunjukkan bukti-bukti bahawa perkampungan itu memang miliknya.

            G Bun C meneliti bukti-bukti yang ditunjukkan tetapi dia tidak sedikit takut dengan ancaman akan dihalau atau dihadapkan ke muka pengadilan.

            “Sesiapa pun boleh mendakwa tempat ini milik tuan dengan apa bukti sekalipun. Bukti boleh dibuat sesiapa sahaja tetapi hutan belantara ini, tidak ada bukti bahawa ia adalah kepunyaan sesiapa. Sama juga dengan bukit bukau dan gunung ganang. Kenapa tuan tidak mahu mendakwa bukit bukau dan gunung ganang itu milik tuan?” G Bun C bertanya kepada lelaki yang mendakwa dirinya Ta K C itu.

            Lelaki itu terdiam. Dia menoleh kea rah tujuh orang pengikut yang berdiri di belakangnya. Mereka berpandangan sesama sendiri.

            G Bun C memerhatikan wajah lelaki itu dengan sinis sambil berkata,” Kerana hutan ini dahulu, dipenuhi dengan binatang buas. Tidak ada sungai untuk berulang alik, tidak ada jalan untuk diredah. Tetapi setelah semuanya cukup, datanglah orang mengaku itu kepunyaannnya. Bukankah itu memang kerja manusia yang suka mencari jalan mudah untuk mendapatkan sesuatu tanpa bersusah payah?”

            “Saya tidak peduli walau apa pun alasan yang awak berikan. Saya mahu kawasan ini diserahkan kepada saya. Saya akan menjadi pemerintah di sini!” Lelaki angkuh itu mendabik dada sambil diperhatikan oleh juak-juaknya.

            “Saya hanya akan serahkan kawasan ini kepada tuan, sekiranya saya sudah berkubur di sini. Tetapi sekiranya saya masih bernyawa, lupakan sahaja niat tuan itu atau tuan bersiap-siap menyediakan perkuburan tuan di sini!” G Bun C memperli.

            Tanpa disedari seorang demi seorang penduduk di penempatan di situ datang mengerumuni lelaki itu dan memberikan sokongan kepada G Bun C untuk mempertahankan tindakannya.

            “Saya tidak pernah memanggil mereka datang, tetapi mereka memberikan keyakinan kepada saya bahawa dakwaan tuan itu palsu! Tuan boleh beredar. Jika tuan berhajat mahu mendapatkan penempatan seperti ini, gunakan tulang empat kerat tuan dan bukan gunakan tipu helah. Ada yang lebih berkuasa dari kita semua!”

            Melihatkan orang semakin ramai, lelaki dengan tujuh juak-juaknya berasa gementar dan perlahan-lahan menyusup di celah-celah orang ramai, hilang entah ke mana.

            Kepada G Bun C, lelaki itu bukan orang pertama mendakwa begitu. Malah sudah berulangkali orang mendakwa dia menceroboh.

EPISOD 5

Sekumpulan orang telah memapah seorang lelaki yang sudah berusia memasuki perkampungan yang sudah bertaraf sebuah negeri. Lelaki itu bukan kerana uzur tetapi luka dan perlukan bantuan.

            G Bun C yang sudah menjadi kepala negeri itu meminta orang-orangnya supaya membawa masuk lelaki yang luka itu ke dalam rumahnya. Setelah diberi rawatan dan ubatan, G Bun C melawat lelaki yang tidak diketahui asal usulnya.

            Setelah bercerita panjang akan asal usul lelaki itu, ceritanya tidaklah berlainan sangat dengan asal usulnya.

            “Apakah tuan ini yang bernama C C Pan. Orang yang menjadi kepala desa sebuah perkampungan di sebelah utara?” Tanya G Bun C sambil memerhatikan raut wajah lelaki itu dalam-dalam.

            “Tidak salah lagi tuan. Bagaimana tuan boleh mengenalinya?” Tanya seorang lelaki yang menjadi peneman kepada lelaki yang bernama C C Pan itu.

            “Kalau tuan ingin tahu, saya inilah G Bun C anak kepada C C Pan ini. Sayalah yang keluar dari kampung ketika usia 12 tahun. Sekarang sudah hampir 30 tahun saya mengembara.”

            “Kalau begitu kamu ini adalah anakku!” C C Pan memeluk G Bun C. Pelukan mereka erat sambil diperhatikan oleh orang ramai.

            “Ayahku. Saya berjanji tidak akan pulang selagi saya tidak menemui harta yang saya cari-cari selama ini?”

            “Harta? Bukankah negeri yang kamu buka ini sudah menjadi harta kamu?”

            G Bun C terdiam. Sejurus kemudian dia bersuara,” Bagaimana ayah boleh sampai ke sini?”

            “Aku ingin melihat harta yang kamu cari. Di pertengahan jalan ayah telah diserang oleh sekumpulan orang yang tidak dikenali,” ujar C C Pan sambil berkata lagi, “ Sesungguhnya apa yang kamu miliki ini lebih berharga dari luka ayah yang tidak seberapa ini.”

            C C Pan melepaskan pelukan G Bun C.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s