Cerpen MM – Cinta Sunnah

CERPEN INI TELAH DISIARKAN DALAM

MINGGUAN MALAYSIA PADA 4 Februari 2007

 Cinta Sunnah

 Oleh Muhd Nasruddin Dasuki

 Bismillahirahmanirrahim.

Bahawasanya inilah sebuah kisah yang tidaklah seindah peristiwa yang dilalui oleh Nabi Yusuf dan  Zulaikha di dalam al-Quran kerana jalurnya berbeza. Akan tetapi, mengambil iktibar daripada apa yang berlaku sejak berabad lamanya sehingga kini, nescaya akan membuka fikiran umat manusia. Bahawasanya perbalahan hanya kerana perebutan siapa yang layak menjadi ketua agama selepas kematian Nabi Muhammad s.a.w yang berlaku sejak tahun 632 masehi akan menjerumus kepada kehancuran.

EPISOD 1

Abu Zayed al-Ehmedi tidak menyangka berakhirnya rejim Saddam Hussein yang mengheretnya sehingga ke tali gantung sepatutnya memahatkan  suasana gembira bagi orang Arab berketurunan Sunnah, Syiah dan Kurdis di Iraq. Tetapi sebaliknya apa yang berlaku dua puak yang bermusuhan semakin menghampiri kepada perang saudara.

            Ketika  anak muda itu bertemu untuk kali pertama dengan Ramisha al-Danouri, di sebuah bandar di selatan Baghdad, beberapa tahun lalu dia tidak menyangka ia akan berakhir dengan risiko paling menakutkan di dalam hidup.

            Malah ketika merancang untuk mengakhiri zaman bujangnya, Abu Zayed al-Ehmedi tanpa berselindung terus berkata kepada Ramisha al-Danouri: “Tidak salah bagi seseorang lelaki menjadi suami. Tidak salah juga seorang perempuan menjadi isteri. Tetapi yang salah ialah apabila suami dari kalangan puak sunnah memilih isterinya dari kalangan pengikut syiah.”

            Ramisha al-Danouri diam seraya mempamerkan wajah suram. Sejurus kemudian dia bangun dari tempat duduknya dan berkata, “Benarkah jika pertelingkahan di antara penyokong Saidina Ali dan Khalifah Abu Bakar r.a setelah wafatnya Rasulullah s.a.w tidak berlaku, sehingga ke hari ini tidak akan wujud dua puak yang yang saling bermusuhan?”

            Kawasan perumahan pengikut Sunnah di Azamiyah yang menjadi saksi pertemuan itu  akan menjadi medan terakhir pertemuan jika perang saudara meletus.

            Seraya memerhatikan gadis berketurunan Syiah itu memandang keluar jendela, Abu Zayed al-Ehmedi menjawab, “Bukankah semua peristiwa itu sudah ditentukan Tuhan? Mengambil iktibar daripada  peristiwa itu sehingga menyebabkan Saidina Ali dan Hasan serta Husin yang terbunuh, sepatutnya dendam kesumat itu sudah lama berakhir.”

            “Itu bagi mereka yang beriman dan berfikir. Tetapi ada yang beriman tetapi tidak berfikir. Manakala mereka yang berfikir tetapi tidak beriman,” ujar Ramisha al-Danouri sambil memerhatikan sekeliling.

            Menjadi satu kemurkaan  apabila pengikut Sunnah dan Syiah menjadi sepasang suami isteri.

            Sambil menarik nafas panjang, Abu Zayed  al-Ehmedi bangun dari tempat duduknya lalu berkata: “Apakah menjadi satu dosa besar, apabila aku mengambil keputusan mengahwini   kamu sedangkan aku tahu, diri kamu dari keturunan Syiah yang sememangnya menjadi musuh pengikut Sunnah?”

            Ramisha al-Danouri berpaling. Dia tidak segera menjawab. Sebaliknya dia asyik memerhatikan anak muda Sunnah itu mengurut janggutnya. Lalu dia berkata: “Aku cuma bimbang akar kebencian yang sudah sekian lama berakar umbi tidak mati tetapi semakin lama semakin menjadi bara dendam.”

            Abu Zayed al-Ehmadi tidak segera menjawab.

EPISOD 2

Ketika matahari sudah lesu membuang sinarnya sepanjang hari, Abu Zayed al-Ehmedi sudah bersiap-siap. Dia melihat gadis Syiah itu seperti tidak memahami apa yang mahu dilakukan.

            Melihatkan Abu Zayed al-Ehmedi berdiri di muka pintu, Ramisha al-Danouri segera bertanya: “Kamu hendak ke mana?”

            Maka segera dijawab oleh Abu Zayed al-Ehmedi: “Aku mahu menghantar kamu pulang.”

            “Pulang?” kata Ramisha al-Danouri dengan riak muka yang berubah.

            Abu Zayed al-Ehmedi mengangguk lalu berkata: “Aku mahu menghantar kamu sehingga ke satu kawasan neutral. Apakah kamu sudah lupa? Kamu beritahu aku tadi, Saeed Hussainy, adik kamu akan menunggu kamu sebelum matahari terbenam?”

            “Kita sebenarnya menjadi mangsa. Sejak kejatuhan Saddam, puak Syiah semakin mendominasikan sebahagian bumi Iraq. Mereka tidak sedar, mereka telah menjadi kuda tunggangan Amerika Syarikat dan sekutunya untuk melebarkan pengaruh dan memporak-perandakan umat Islam.”  Ramisha al-Danouri masih tidak berganjak walaupun Abu Zayed al-Ehmedi sudah keluar dari pintu rumah.

            Melihatkan Abu Zayed al-Ehmadi sudah menunggu di luar rumah, akhirnya Ramisha al-Danouri melangkah keluar. Sambil mengunci pintu, Abu Zayed   al-Ehmadi berkata: “Pulanglah. Kedua ibu dan bapa kamu sudah tentu mencari-cari kamu. Apabila diketahuinya kamu bertemu denganku di sini, nescayalah kamu akan dipengapa-apakan.”

            Sambil menguntum senyum Ramisha al-Danouri berkata: “Tidak aku sangka, rupa-rupanya kamu mengambil berat mengenai diriku.”

            “Sudah tentu. Tetapi aku tidak pasti, apakah Tuhan akan menjodohkan kita atau memisahkan kita hanya kerana Sunnah dan Syiah sememangnya tidak boleh bersatu?” ujar Abu Zayed al-Ehmedi mempamerkan wajah kesedihannya.

            Tanpa memperdulikan orang-orang di sekeliling pasangan Sunnah dan Syiah itu mengatur langkah menuju ke kawasan neutral  di mana, Saeed Hussainy adik gadis Syiah itu sedang menunggu.

EPISOD 3

Sambil mengatur langkah perlahan, tanpa memperdulikan keadaan sekeliling yang masih huru-hara angkara askar pihak bersekutu Amerika dan penyokong Saddam Hussein, Saeed Hussainy berkata kepada Ramisha al-Danouri, “Kamu harus bersedia dengan jawapan sekiranya kepulangan kamu akan dihujani dengan pelbagai pertanyaan nanti.”

            Berkata Ramisha al-Danouri kepada adik lelakinya: “Benarkah ada orang mengetahui ke mana aku pergi seharian ini?” Ramisha al-Danouri memandang wajah adik lelakinya yang jarak usia empat tahun itu.

            “Laluan kita ini bukanlah satu laluan sulit. Banyak mata memandang. Walaupun kamu belum bersuara, kemungkinan besar bapa kita sudah mengetahui ke mana langkah kamu hari ini.”  Saeed Hussainy mengekori langkah saudara sulungnya.

            Hanya kira-kira 300 meter untuk sampai ke rumahnya, Ramisha al-Danouri mempercepatkah langkahnya.

            Sambil memerhatikan kanan dan kiri jika ada rakan-rakan ayahnya mengekori pemergiannya menemui anak muda pengikut Sunnah itu, Ramisha al-Danouri bertanya: “Apakah bapa ada di rumah ketika kamu keluar menjemputku tadi?”

            Belum sempat Saeed Hussainy menjawab, langkah kakinya sudah sampai di hadapan pintu rumahnya.

            Saeed Hussainy berbisik ke telinga Ramisha al-Danouri lalu berkata: “Bapa tidak ada di rumah ketika aku keluar tadi tetapi kamu lihat itu…”  Dia menuding ke arah kasut yang selalu digunakan oleh bapanya berada di luar pintu.

            Ramisha al-Danouri merapatkan tapak tangan kanan ke dadanya.

            Saaed Husainy memberi isyarat supaya terus masuk ke dalam rumah.            

            Sebaik sahaja sepasang kakinya melangkah ke dalam rumah, al-Danouri berkata: “Kamu tidak perlu menjelaskan, ke mana kamu pergi. Tetapi kamu perlu menjelaskan mengapa kamu bertemu dengan anak muda pengikut Sunnah itu?” 

            Ramisha al-Danouri tercegat di tengah-tengah ruang rumahnya. Dia tunduk memandang lantai sambil membetulkan kerudungnya. Ayahnya duduk di kerusi seraya memerhatikan anak lelakinya yang menjemput saudara sulungnya pulang.

            Ramisha sempat menjeling ke wajah garang bapanya. Dia tahu ayahnya pengikut Syiah yang taat. Setelah beberapa ketika menyembunyikan suaranya, Ramisha al-Danouri berkata: “Mengapakah dendam yang berakar umbi sejak berabad lalu masih lagi seperti api yang tidak pernah padam?”

            Mendengar kata-kata anaknya itu, al-Danouri segera menjawab: “Ayah bukan mahukan soalan tetapi jawapan.” Lalu dijawab oleh Ramisha al-Danouri dengan katanya, “Sesungguhnya umat yang sentiasa berbuat baik, akan kembali kebaikan itu kepada dirinya dan sesiapa yang melakukan kejahatan,  akan kembali kejahatan itu kepada dirinya.” 

            Al-Danouri bangun dan berdiri di hadapan Ramisha al-Danouri kemudian berkata: “Bukankah sudah ayah katakan,  tidak ada ruang untuk pengikut Sunnah menjadi ahli keluarga kita! Jika kamu berdegil, kamu atau anak muda pengikut Sunnah itu akan menerima nasib seperti kebanyakan mereka yang berada di luar sana.”

            Ramisha membetulkan kerudung hitamnya lalu duduk dan berkata: “Saya tahu tentang sejarah pertumpahan darah sehingga mengorbankan menantu, Hasan dan Husin, cucu Nabi Muhammad sa.w. Sejarah tidak boleh dipadam dengan selembar kertas setelah ia berlaku, tetapi sejarah boleh diubah jika  perebutan kuasa tidak merajai hati kita! Apakah peristiwa itu akan terus berulang dan berulang sehingga ke akhir zaman?”

            Al-Danouri terdiam seketika. Dia menoleh ke wajah anak gadisnya seraya berkata: “Sejak kamu habis belajar dari universiti, kamu sudah bijak berkata-kata. Kamu tidak mendengar ketegangan di antara pengikut Syiah dan Sunnah hampir setiap hari mengorbankan nyawa. Kamu mahu itu berlaku ke atas kamu?”

EPISOD 4

Sepanjang minggu suasana tegang semakin terasa apabila penduduk Sunnah mengadakan

tunjuk perasaan di tempat suci Syiah di Samara, utara Iraq. Mereka membantah pembunuhan Saddam setelah kerajaan Iraq dikuasai pemimpin Syiah.

            “Harapan untuk melihat perdamaian adalah suatu yang mustahil. Kamu tahu bukan, Baghdad yang sebelum ini menjadi pusat toleransi beragama sudah bertukar menjadi medan peperangan,” ujar  Abu Zayed al-Ehmedi melihat ke dalam mata gadis yang telah menakluk hatinya.

            Penaklukkan itu sesuatu yang perit terhadap hati dan perasaannya. Ia sama seperti yang dialami oleh seluruh umat Iraq apabila Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya menakluk Iraq.

            Rakyat Iraq tidak mampu membebaskan diri sebaliknya terpaksa berjuang menentang askar-askar bersekutu dan pengikut Syiah mengambil kesempatan ini untuk melebarkan sayapnya sekaligus untuk membalas dendam terhadap pemberontak Sunnah.

            “Ya, aku sedar. Kelmarin  11 jemaah Syiah yang baru pulang dari menunaikan

haji, menemui ajal kerana diserang oleh pengikut Sunnah. Bas yang mereka naiki diserang di kawasan sempadan Sunnah-Syiah,” jelas Ramisha al-Danaouri mempamerkan wajah sugul dengan tragedi yang berlaku.

            Abu Zayed  el-Ehmedi menggigit bibir. Tidak lama kemudian dia menjawab: “Sebenarnya khabar itu tidak pasti. Apakah benar ia dilakukan oleh pengikut Sunnah atau oleh pengikut Syiah sekadar untuk memburuk-burukkan mereka atau puak lain yang mengambil kesempatan?”

            “Khabarnya memang pasti! Mereka mahu membalas dendam terhadap pemimpin mereka yang menemui ajal di tali gantung.” Ramisha al-Danouri menjawab penuh yakin.

            Abu Zayed memerhatikan sekeliling. Walaupun mereka bertemu di kawasan

zon bebas tetapi bukan bermakna dia selamat. Banyak mata memerhatikan. Pandangan mereka penuh dengan syak wasangka.

            Setelah pasti tidak ada orang mendengar perbualan mereka, Abu Zayed bertanya kepada Ramisha al-Danouri inginkan kepastian: “Apakah pendapat kamu mengenai pengikut Sunnah? Adakah kamu berasa curiga atau kamu tidak memihak mana-mana?”

            Lama Ramisha al-Danouri berfikir untuk menjawab soalan itu. Akhirnya dia bersuara: “Sejak kecil sehingga sekarang, aku dibesarkan dalam pengikut Syiah. Bapa aku adalah salah seorang pemimpin yang kuat dengan fahamannya. Kamu tahu  apakah yang bapaku katakan selepas aku bertemu dengan kamu sebelum ini?”

            “Kamu belum menceritakan kepadaku.”

            “Jika aku  melanggar larangannya, tidak mustahil kau atau aku akan menjadi  seperti mereka di luar sana,” jelas Ramisha al-Danouri.

            “Jika begitu, memang mustahil untuk kita bersatu!”

            Ramisha al-Danouri terkejut lalu berkata: “Apa maksud kamu?”

             Abu Zayed terasa serba salah untuk bersuara. Dia mundar-mandir di luar rumah, salah seorang rakannya yang boleh dipercayai.  Tidak lama kemudian, barulah dia bersuara: “Kita berpisah di sini sahaja. Sebarang kemungkinan boleh berlaku. Sesuatu yang tidak boleh disatukan, adalah lebih baik mencari jalan untuk berpisah.”

            Ramisha al-Danouri terpana sejenak lalu berkata: “Aku tidak faham!”

            “Kamu sudah faham!”

EPISOD 5

Abu Zayed mengulum bibirnya. Sepasang mata redupnya terkebil-kebil seperti hendak

menerangkan sesuatu dengan bahasa isyarat.

            “Kamu pulanglah dahulu. Adik kamu sudah lama menunggu. Jika kita tidak bertemu lagi selepas ini, bermakna memang mustahil untuk kita bersatu sebagaimana mustahilnya di antara Sunnah dan Syiah bersatu. Mungkin sudah demikian takdirnya,” luah Abu Zayed perlahan lalu melepaskan pandangan ke satu lorong di mana Ramisha akan melalui jalan itu.

            Ramisha al-Danouri meraba jantungnnya. Dia terasa debarannya. Memang suasana tidak mengizinkan dia tidak  lama di situ. Sebarang kemungkinan boleh berlaku.

            “Walau apapun, aku harap kamu bersedia menerima sebarang kemungkinan,” lemah suara Ramisha  al-Danouri  seraya memulakan langkah meninggalkan tempat itu.

            “Insya-Allah, Tuhan akan menyertaimu. Pulanglah.” 

            Kira-kira seratus meter Ramisha al-Danouri meninggalkannya melewati zon neutral, sekumpulan lelaki telah menariknya. Suasana kelam kabut itu tidak dapat dilihat dengan jelas ke mana gadis itu dibawa pergi.

            Sekelip mata sekujur tubuh Ramisha al-Danouri hilang dari pandangan.

            Abu Zayed el-Ehmadi tidak mampu berbuat apa-apa.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s