Cerpen MM – Tembok Langit Lembah Nil

CERPEN MINGGUAN MALAYSIA

CERPEN INI TELAH DISIARKAN  PADA 14 MEI 2006

TEMBOK LANGIT LEMBAH NIL   

Oleh Muhd Nasruddin Dasuki

ADA ada sepasang rama-rama bersayap ungu berlegaran di kaki langit terbuka itu. Entah dari mana munculnya, tiba-tiba sahaja menarik perhatian. Diperhatikan sepasang rama-rama yang sedang kehangatan asmara itu dengan teliti. Pada kedua-dua sayapnya ada bulatan warna perak di tengah-tengah, nampak  lembut dan bercahaya apabila disimbah sinar mentari pagi.

            Barangkali seperti dia juga, sepasang rama-rama itu sepatutnya tidak berada di situ. Tentunya  di sebuah taman mewangi dengan sejuta haruman. Dia juga tiba-tiba sedar, dia tidak sepatutnya berada di atas bot di dada Sungai Nil ini. Tempatnya bukan di sini, tetapi dia mahu membawa hati, membawa diri kerana berasakan itu lebih sakit daripada merawat luka di tangan. 

            Pagi itu, satu hari yang indah, lembut dan mesra alam. Di bawah langit biru, sinar mentari yang nipis tetapi menyegarkan apabila disapa angin dari sebelah timur.  Dia sedar, tidak ada kejora di langit tinggi itu untuk diharap sinarnya.

Tiba-tiba sahaja terasa ada getaran menyikat kalbu apabila sepasang rama-rama itu terbang beriringan kemudian berlegar jauh dan semakin jauh. Akhirnya perlahan-lahan pupus  dari matanya. Sepasang rama-rama itu mencipta dunianya sendiri yang tidak pernah ada satu tembok pun untuk memisahkannya.

            Dia hairan bagaimana sepasang rama-rama boleh berligaran di situ sedangkan di situ bukan sebuah taman yang dipenuhi dengan pelbagai jenis bunga-bungaan. Tetapi hanyalah ruang udara hamparan sungai Nil yang lembut. Bagaimanapun pertanyaan itu hilang begitu sahaja apabila dia percaya alam ini di huni untuk sesiapa sahaja.

            Sesiapa pun  berhak untuk berada di mana sahaja asalkan tidak menganggu orang lain, fikirnya sejenak. Seperti juga dia. Dia juga berhak untuk berada di situ walaupun, orang akan beranggapan dia tidak wajar berada di situ.

            Melayari Sungai Nil yang tenang dan lembut, Abdel Kareem Al-Bukhairy sudah membuang sejauh mungkin jerit larang yang memintanya agar tidak berdua-duaan dengan Siti Fateema Musyhin Al-Husyaini, gadis idaman yang sudah lama beristana di jiwanya.

            Sesekali melihat raut wajah gadis yang tiga tahun lebih muda daripadanya, dia dapat berasakan  banyak cerita tersirat di sebalik sorot anak matanya yang tajam menusuk. Bagaikan ada awan suram tergantung di langit dadanya.

            Bot Sultan Asyraf yang sarat dengan penumpang bagaikan tidak memilih sesiapa yang mahu melayari tepian Sungai Nil. Asalkan sahaja ada keinginan dan hasrat untuk bersiar-siar mencicipi keindahan alam, tidak ada sesiapa boleh melarang.  Sama ada mereka di kalangan pelancong, suami isteri atau lelaki dan perempuan yang tidak ada hubungan apa-apa, lagak mereka sudah seperti tidak ada larangan untuk berbuat apa sahaja yang mereka suka.

            Abdel Kareem dan Siti Fateema sedar perbuatan mereka berdua-duaan  di atas bot yang terapung di dada Sungai Nil bukanlah sesuatu yang menarik di mata masyarakat sekeliling walaupun pada ketika itu, bukan mereka berdua sahaja tetapi ramai lagi di kalangan remaja yang sebangsa dengannya. Mereka terjebak di antara konflik pengaruh Barat dan meningkatnya sikap konservatif Islam, bukanlah masa yang sesuatu untuk dia berbuat begitu.

            Dia tahu, di mata Barat bersiar dan berdua-duaan di atas bot walaupun banyak lagi penumpang lain, menjadi perkara lumrah. Tetapi bagi masyarkat Mesir, perlakuan itu itu dianggap sesuatu yang mencabar martabat dan keimanan. Apalagi memadu asmara yang jauh dari kelibat rakan-rakan mahupun saudara maranya.

            “Aku jadi keliru dan terjebak sebenarnya, Fateema.” Abdel Kareem memulakan bicara kira-kira dua puluh minit bot Sultan Asraf yang terapung di Sungai Nil berlepas dari pangkalan. Dia sedar di kota yang memiliki kepadatan penduduk sejumlah 18 juta umat, kebanyakannya penghuninya adalah mereka yang terdidik dengan ajaran Islam.

            Dia memandang langit terbuka, luas tidak bertepi. Tetapi dia berasa tiba-tiba di kelilingi tembok yang memisahkan dirinya dengan  adat dan budaya masyarakatnya. Di dadanya ada langit yang terbenam, dihatinya ada lagu jiwa yang menyesakkan.

“Itu bukan tembok langit sebenarnya yang mampu memisahkan manusia di antara keperluan  dan lumrah hidup. Kita yang membuatkan diri jadi keliru. Kita yang membuatkan diri kita dijebak.” Balas Siti Fateema perlahan sambil memerhatikan  dua pelancong Barat yang duduk di kerusi sebelah.

Dua pelancong barat itu dan beberapa remaja sebangsanya yang tidak diketahui sama ada suami isteri atau bukan, tidak memperdulikan sekeliling, mereka berpeluk seketika seolah-olah mereka berada di dalam tembok yang tidak dilihat oleh sesiapa.

“Kita sebenarnya lahir dalam dua campuran zaman. Zaman ibu bapa kita dan zaman ledakan maklumat internet serta pengaruh Barat yang mendesak. Ini yang membuatkan saya kecewa dan keliru….” Abdel Kareem seolah-olah melahirkan isi hatinya yang terperap lama sejak tadi. Wajahnya nampak lembut tetapi sayup  sesayup pandangan di daratan yang ditumbuhi bangunan-bangunan tinggi di celah rimbunan pepohonan menghijau.

“Engkau sebenarnya bimbang, takut dan ragu-ragu berhadapan dengan keadaan.  Bimbang jika kita keluar diketahui oleh ibu bapa kita. Percayalah  di atas air dan lokasi terpencil ini kita benar-benar bebas dari peraturan rigid yang sering mengkelaskan masyarakat, kekayaan dan gender.” Perlahan suara Siti Fateema seolah-olah hembusan bayu yang menyapa ruang.   Sedikit kelegaan mencuit hati Abdel Kareem, lelaki  pelajar jurusan kejuruteraan Universiti Kaherah yang sering tersangkut dengan impian untuk memiliki jiwa Siti Fateema, gadis yang satu universiti dengannya.

“Percayalah, mereka yang berada di tempat kita, tidak akan terlepas dari dijebak kebimbangan. Ya, aku tahu ini bukan perkara baru, bukan juga perkara lama. Tetapi sebagai masyarakat yang lahir dalam suasana  konservatif Islam, hal-hal  seperti ini tidak manis di mata orang.” Abdel Kareem menyandar di kerusi panjang berwarna ungu. Kerusi panjang yang letaknya di baris nombor dua dari belakang dek atas bot itu memberikan dia peluang memerhatikan gelagat penumpang lain di atas bot itu.

Siti Fateema terdiam. Dia sendiri mencuri-curi masa dari tatapan teman-temannya untuk bertemu Abdel Kareem. Dia berasakan bertemu di atas bot yang melayari lembah Sungai Nil itu yang dirasakan dapat menutup pandangan orang-orang yang mengenalinya.

“Kareem, kita datang dari  keluarga dan kampung yang jauh dari kota. Kita dihantar belajar di sini dengan harapan setinggi langit. Supaya apabila habis belajar nanti, kita diharapkan akan menjadi ahli perniagaan ternama.” Siti Fateema membetulkan tudungnya ungunya  dan skrit labuh berkain denim.

Bot Sultan Asyraf bergerak perlahan  melewati kawasan bangunan pejabat kemudian kawasan setinggan, seterusnya kawasan pertanian yang subur menghijau. Pandangan yang indah yang berselang seli itu memang mengujakan sesiapa, tidak terkecuali Abdel Kareem dan Siti Fateema.

Entah mengapa pada saat itu, dia terbayangkan wajah petani ayah dan ibunya yang mengharapkan satu ketika nanti, anak yang dihantar ke universiti dapat menyambarnya dari basah keringat dan meletakkan di sebuah istana perak.

Sesekali bayu lembut pagi menyambar persekitaran. Tanpa sedar rupa-rupa sudah agak lama muzik pop Arab berkumandang menerusi pembesar suara. Apabila menoleh ke  hadapan, beberapa orang wanita menari gelek dan mengajak pasangan masing-masing untuk menari.

Itu pertama kali pandangan mata Abdel Kareem dan Siti Fateema dijamu dengan  suasana demikian. Sebelum ini dia hanya mendapat tahu, ramai teman-temannya menghabiskan masa hujung minggu melakar janji di atas bot di dada Sungai Nil itu. Kata mereka, tempat seperti itu seolah-olah sudah menjadi satu kelaziman bagi golongan remaja sepertinya  bertemu dan menyalakan bahang api cinta.

Gadis yang bertudung dan berseluar ketat menari gelek seolah-olah tidak memperdulikan sekeliling. Jelas sekali pertembungan budaya yang berlaku di atas bot itu bukan perkara asing di mata mereka.

“Lihat itu, gadis yang bertudung kepala yang sepatutnya menjadi lambang wanita Muslim tidak ada rasa malu lagi. Mereka  mengangap ini sudah menjadi satu budaya. Di Timur Tengah ni pertembungan budaya begitu sengit sekali. Mampukah kita melawannya?”  Siti Fateema memandang wajah teduh Abdel Kareem.

Lelaki yang yang bijak bermain dengan kata-kata itu menulis sesuatu pada helaian kertas dan menunjukkan kepada Siti Fateema.

Setitik embun itu  menyuburkan seladang tanah pertanian

sepotong api  menyala di pulau

mampu meranapkan

lalang kering di seberang lautan

setitik gerimis menenggelamkan daratan

sebaris ayat

meruntuhkan iman di tembok langit.

Siti Fateema tidak faham apa yang dimaksudkan oleh lelaki yang berhajat menjadi jurutera itu. Dia tidak tahu, bagaimana lelaki yang berminat dengan bidang kejuruteraan itu mampu bermain kata-kata untuk menyatakan sesuatu. Hati kecilnya tidak cukup ranum untuk mengangkap apa yang dimaksudkan oleh anak muda itu.

“Apa yang tulis ini, bukanlah apa-apa. Ia hanya menggambarkan betapa sesuatu yang kecil di mata, bukan bermakna tidak mampu untuk menggoncangkan atau melakukan sesuatu di luar dugaan.  Kalau di Beirut, lelaki dan wanita bebas bergaul tapi di Arab Saudi ini, suasananya lain. Di sini mungkin nampak janggal, tapi percayakah satu hari nanti keadaan seperti ini akan berubah? Sekarang pun dah dapat dilihat perubahannya. Kau lihat apa yang berlaku di atas bot ini?”  Abdel Kareem mengalih pandangan di sekitar bot itu.

Siti Fateema hanya mampu menarik nafas. Mereka yang melakukan perbuatan seperti itu bukan orang tempatan tetapi mereka yang datang dari pendalaman. Datang dengan harapan untuk menimba ilmu, tetapi dikesampingkan dengan naluri yang terbelenggu.              

 “Aku tahu di sini  dan negara-negara teluk, bertemu, berdua-duaan pun  tidak boleh, apalagi untuk bercanda. Ini memang adat yang sudah diamalkan sejak beratus tahun dahulu, tapi sekarang tembok itu sudah condong dan akan runtuh bila-bila masa. Kitalah yang meruntuhkannya…”  Siti Fateema memalingkan muka ke kanan sepasang remaja lelaki dan perempuan duduk bersebelahan. Tangan sang lelaki memaut bahu teman wanita di sebelahnya. Entah apa yang dibualkannya.

Mereka yang menaiki bot di dada Sungai Nil itu mengambil kesempatan melihat keindahan sekitar dengan menyulam keinginan untuk bertemu melepaskan  sepotong rindu.  Dia tidak menafikan, dia dan Siti Fateema tidak terkecuali.

“Kita sebenarnya tak boleh hidup dengan berpegang kepada adat ciptaan manusia. Kita harus keluar dari kepompong yang membelenggu. Zaman sudah berubah. ” Abdel Kareem berasakan sudah sampai masanya generasi baru sepertinya berfikiran terbuka.

“Benar sudah berubah, tapi ini amat bahaya sebab kebanyakan remaja yang datang ke Kaherah ini datang dari keluarga miskin. Mereka berusaha untuk mencipta budaya sendiri. Mereka mahukan kebebasan, sesekali bertemu dengan kekasih hati. Macam kita!”

Abdel Kareem  terdiam sejenak. Anak muda yang baru mencecah suku abad itu terasa dengan kata-kata Siti Fateema. Dia memang  berasal dari pedalaman dari keluarga petani. Ayah dan ibunya mahu melihat kehadirannya di universiti akan dapat merubah nasib keluarga satu hari nanti.

Dia teringat berapa orang rakannya yang terlalu berpegang kuat pada agama pernah ditahan pihak berkuasa kerana disyaki ada hubungan dengan puak pelampau namun nasibnya baik. Dia dibebaskan setelah tiada bukti yang mengaitkannya dengan kegiatan puak pelampau.

Dia sedar  sejak kebelakangan ini di atas bot itulah pentas golongan remaja sepertinya menjadikan lokasi memadu janji dengan pasangan masing-masing. Jika mereka bertemu di tempat awam seperti pusat membeli belah umpamanya, mereka akan dianggap meyalahi  peraturan.     

Abdel Kareem berasa bersalah menjadikan bot persiaran itu sebagai wadah untuk memadu janji dan membina tugu asmara. Dia tidak mahu terikut-ikut dengan budaya Barat yang sedang mengheretnya ke lingkung kehancuran. Tetapi dia tidak mampu menolaknya.

Dia sudah mengenali Siti Fateema sejak awal menjadi siswa di Universiti Kaherah. Dia mahu menjadikan Siti Fateema segala-galanya di dalam hidup.

Bukan mudah seorang lelaki melapah  hati seorang perempuan jika hanya sekadar melihat raut wajah dan tersirat di hati. Apa lagi jika lelaki itu tidak cukup ranum perasaannya untuk menjamah deritanya masa lalu, fikirnya seketika.

Saat fikirannya melangsungkan harapan yang belum kesampaian itu, tiba-tiba terdengar suara seperti sedang dalam kecemasan. Dia memerhatikan sekitaran, ada yang berdiri memegang bangku, tidak kurang juga yang menjerit, menyebut nama Allah atau apa sahaja yang sempat keluar dari celah kerongkong.

Abdul Kareem memeluk Siti Fateema di luar sedarnya. Bot yang tadi belayar perlahan sudah senget ke sebelah kiri. Dek bot sudah mencecah ke gigi air. Suara-suara keriuhan semakin galak.

Abdel Kareem melihat sepasang mata Siti Fateema. Dia mahu memastikan, apa yang berlaku hanyalah perasaannya atau memang benar-benar berlaku. Jika ia benar-benar berlaku, lembah Sungai Nil itulah yang akan menjadi tembok pemisah sama ada dia hidup atau mati.

Siti Fateema ketakutan. Penumpang bot yang lain juga ketakutan. Namun ketakutan itu hanya ketika berdepan dengan saat meruncing seperti itu sedangkan ketakutan kepada yang menjadikannya di dunia ini, tidak terfikir langsung sebelum  detik itu.  Dia tidak menolak kemungkinan bot itu sudah sarat dengan dosa yang dilakukan oleh  para penumpangnya.

3 Responses to Cerpen MM – Tembok Langit Lembah Nil

  1. hilda says:

    romantis

  2. Asyraf Sallehuddin says:

    Penulisan novel yang hebat… contoh rama-rama yang diberikan amat serasi dengan realiti watak tersebut…..pengolahan isu yang amat menarik….pertembungan budaya yang hebat antra barat dan adat timur…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s