Cerpen: Kelekatu Bersayap Unggu

KELKATU BERSAYAP UNGGU.

 Oleh Muhd Nasruddin Dasuki

 MASIH sahaja aku menatapi si lelaki pemecah sunyi itu, tertegun memerhati kelekatu bersayap ungu singgah di batu. Putik matahari masih tergantung di pokok sana. Mungkin kelekatu itu berfikir, putik matahari itu lampias cahaya lampu. Lantas ia pun menyerbu keluar dari liang sembunyi mengejar lampu.

            Kelekatu dan lampu seperti kerinduan sedang bersatu, seperti  keabadian dan kebebasan sedang bercumbu. Di situ ada makna tersirat seribu, ada harapan berjalur menunggu di sebalik langit biru dan kelabu.

            Dari perbukitan, perkebunan teh di tanah Cisarua, pagi dengan suhu 30oC masih lembut basah  di daun lidah, dingin nipis masih membelah.  Sesuatu itu yang aneh lebih menyerlah. Aneh kerana kelekatu itu itu keluar dari liang pertapaan tatkala  pagi masih cerah, bukan pekat malam, hitam dan kelam sebagaimana kebiasaan.

            Tanah bekas kerajaan Pajajaran, menghijau dengan perkebunan teh, di sela lurah dan perbukitan, menyuci pandangan. Di situ satu saat dahulu pertemuan pemimpin revolosi menentang kompeni Belanda. Kini  yang  tinggal hanyalah  sebuah kota tua, 518 tahun usia masih segar sisanya.

            Sejak kelmarin sebenarnya, sementara menanti kabus pagi sirna di pucuk bukit, aku perhatikan si lelaki pemecah sunyi bagaikan terpukau melihat kelekatu bertebaran di sekitarnya. Lantaran dia menangguh kerja untuk seketika.

            Lelaki itu, pemecah batu sebenarnya. Batu-batu sebesar pemeluk yang bertahun-tahun diam di pinggir lurah dan kali akan dipecahkan dengan tukul. Batu-batu yang dipecahkan sebesar tiga tapak tangan itu akan dikumpul, kemudian peraih akan mengambil dan dia akan dibayar beberapa rupiah hasil keringatnya itu.

            Dia tidak tahu untuk apa batu-batu itu setelah berpindah tangan. Cuma yang dia pernah lihat, batu-batu itu pernah dijadikan tembok pagar kediaman penghuni mewah untuk memisahkan di antara golongan bangsawan dengan marhaen.

            Oleh kerana setiap hari dia memecah batu, di sebuah desa yang sekitarannya sunyi, lalu seorang peraih menggelarnya “pemecah sunyi”. Dia senang dengan gelaran itu, gelaran yang mungkin tidak dilakukan kebanyakan orang.

            Lelaki pemecah sunyi itu hairan melihat beribu kelekatu itu menyerbu kelur dari celah batu bagaikan senapang meledakkan peluru.

            Menyelinap ke kotak fikir si lelaki pemecah sunyi itu, rupa-rupanya dia tidak pernah sunyi daripada memikirkan  – bagaimana jika satu saat nanti, alam tidak lagi menjadi indah  tanpa kelekatu mengejar lampu.

            Satu saat lain pula, aku memikirkan – bagaimana  jika aku menjelma menjdi kelekatu dan kelekatu itu bertukar menjadi aku.  Adakah ia akan berfikir, sama seperti apa yang sedang aku fikirkan?

            Aneh? Oh tidak. Bunyinya seperti lucu tetapi sebenarnya ia perlu. Perlu untuk tidak sentiasa hidup dalam belenggu. Sesekali perlu menjadi orang lain, perlu menjadi kelekatu, kupu-kupu, burung hantu, tulip biru atau apa sahaja yang memberi makna baru.

            Bagaimana kalau aku benar-benar menjadi kelekatu?

            Ya, kelekatu bersayap ungu. Kelekatu yang keluar dari liang pertapaan  lalu terbang mengejar  lampu. Merah, kuning, hijau dan biru. Di sini sebenarnya ada kedamaian menunggu, kebebasan, keadilan dan keabadian berpadu. Tetapi apakah benar semua itu?

            Atau akhirnya aku menjadi kelekatu yang mati terkapar kaku apabila terpatah sayap setelah lelah terbang setiap malam beku. Hanya kerana mahu mengejar lampu.

 Babak Q

Latar: Ruang dalam sebuah rumah kayu/ Malam

Pelakon: Kelekatu/Lelaki Pemecah Sunyi

Keperluan: Sebuah Pelita Minyak Tanah

 Seorang lelaki separuh usia, tentu lelaki pemecah sunyi itu, berbaju singlet. Berkain pelikat berkotak-kotak biru sedang bersila di ruang tamu, menghadap sebuah pelita bersumbu. Cahayanya samar. Lelaki itu tercenung memikirkan nasibnya – samar-samar seperti sekitaran pelita itu.

            Sedang dia keributan memikirkan nasibnya, seekor kelekatu terbang menggitari, kemudian perlahan-lahan hinggap di lantai bagaikan pesawat mendapat di landasan.

Tentu sahaja, kelekatu bersayap ungu itu, aku. Aku telah benar-benar menjadi kelekatu. Lelaki pemecah sunyi itu terpana seketika. Kelekatu sudah tiba, tetapi mana yang lain? Dia berfikir.

 PEMECAH SUNYI: (Membongkok sambil tekun memerhati kelekatu). Heh.. bukankah engkau yang aku lihat di tanah Cisarua kelmarin? Untuk apa engkau ke mari?

 KELEKATU: Bukankah alam ini untuk semua? Dan kita bebas ke mana-mana. Adakah masih tidak ada kebebasan di sini?

 PEMECAH SUNYI: Kebebasan sebenarnya cuma ada dalam diri, dalam rasa. Di luar, kebebasan cuma igauan. Jadi kamu ke mari, mencari kebebasan?

 KELEKATU: Ya, bertahun kami mendiami liang pertapaan di perut bumi. Ada ketika ada masa, kami harus keluar dari belenggu. Dari liang pertapaan, kami dengar di sini tidak aman, kekacauan sering berlaku setiap detik dan waktu, kami ingin melihat apa sebenarnya yang berlaku.

 PEMECAH SUNYI: Siapa kamu sebenarnya?

 KELEKATU: Aku kelekatu bersayap ungu. Kelmarin, aku perhatikan kamu seperti ada keanehan. Engkau memerhatikan kelekatu seperti ada sesuatu tersembunyi.

PEMECAH SUNYI: Ya, aku hairan. Biasanya kamu mengejar lampu setiap malam pekat menunggu. Tetapi hari itu, tatakala  pagi masih lembut basah, kamu seperti  mengejar putik matahari, tentu ada sesuatu yang kamu cari?

KELKATU: Aku mahu melihat dari dunia kegelapan kami, dan menerangi kegelapan kamu dari suasana yang berbeza.

PEMECAH SUNYI: (Tidak faham seraya membesarkan bola matanya). Maksud kamu?

KELEKATU: Kamu sebenarnya kegelapan dalam cahaya, sedangkan kami tidak pernah merasa gelap meskipun tinggal dalam dunia serba pekat.

 PEMECAH SUNYI: Tetapi kenapa kamu mencari cahaya?

 KELEKATU: Aku ingin tahu, kenapa kamu rasa kegelapan dalam cahaya yang tidak pernah padam?

 PEMECAH SUNYI: Aku semakin tidak faham…

 KELEKATU: Maaf, aku tak boleh lama di sini, kita sama-sama hidup, sama-sama mencicipi nikmat hidup ini. Tapi cara kita berbeza mewarnai kehidupan. Kamu akan tahu nanti.

             Kelekatu itu mengepak sayap kemudian terbang meninggalkan lelaki pemecah sunyi itu. Dia memikirkan nasibnya. Kebelakangan ini nasibnya tidak sebaik sebelumnya. Dia tidak lagi memecah sunyi sebagai tugas lazimnya. Dari hasil memecah sunyi itu  membiayai hidupnya.

             Mengembara dari daerah ke daerah memboyong nasib, tetapi nasib tidak juga berubah. Malah ada ketikanya dia menjadi sampah di mata orang berada. Tetapi sampah di mata orang berada selalu menjadi barang berharga di mata golongan marhaen sepertinya, masih ada nilai. Masih memberinya rezeki untuk terus bernafas.

                                                *                      *                      *

Hari ini aku saksikan hidup semakin haru biru, keliru memburu setiap penjuru waktu, semakin dungu dan buntu melihat bedilan peluru. Beruntung kerana aku  masih   menjadi kelekatu, melihat dengan rasa haru. Tidak mampu berbuat sesuatu tatkala kekeliruan terus berlaku.

            Terbang di bawah temaram lampu, merayap dalam senyap kota, serasa asing dan menyeksa. Melihat beberapa kujur tubuh kaku dan darah sudah membeku,  begini sebenarnya persepsi tentang gambaran  hidup di luar dunia kelekatu. Mencari kebenaran, kebebasan, akhirnya nyawa menjadi taruhan.

            Di hujung lidah, hidup sebenarnya masih kelat. Pernah aku membayangkan sebelum menjadi kelekatu, alangkah indahnya hidup bermandikan cahaya lampu di tasik biru. Di situ ada kerinduan, ada keindahan bunga mawar yang mengembang di sepanjang perjalanan. Wangiannya mengembang ke segenap pojok malam, dan aku akan memanggil teman-teman kelekatu, menikmati indahnya dunia kunang-kunang.

            Tetapi kini, kaca-kaca bertaburan. Darah dan sampah berserakan di jalanan, semakin ngeri dan menakutkan. Inilah kota, satu ketika dahulu  menjadi hamba baldu dan kini menjadi hutan batu;  menjadi penjara yang lesu.

            Menjadi kelekatu aku belajar menjadi kehilangan. Kehilangan segala-galanya.  Kehilangan rasa hormat dan yang penting hilang kepercayaan.

            “Ya, aku hilang kepercayaan.”

            Tiba-tiba aku terdengar, suara lelaki pemecah sunyi itu. Aku maklum benar kenapa dia di situ? Di  tengah kota di bawah temaram lampu yang sunyi.

            “Aku mencari anakku. Anakku….” Suaranya lirih.

            Aku perhatikan lelaki itu seperti sedang mencari sesuatu. Dia berangkat dari satu tubuh ke satu tubuh yang terbujur kaku. Dengan wajah lesu dan haru, dia memerhati satu persatu wajah dalam samar lampu. Rupanya dia menyedari aku ada di situ.

            “Kenapa dengan anakmu?”

            “Tidakkah  engkau dengar, malam kelmarin nyanyian luka sang ibu menangisi anak yang terbunuh dalam rusuhan di sini?”

            “Ya, aku dengar dan aku ke sini kerana mahu melihat sendiri apa yang berlaku. Benarlah kota sekarang sudah tidak aman lagi. Tidak ada lagi  kenderan yang yang berlari seperti selalu. Yang ada hanyalah rusuhan melulu…”

            Aku lihat lelaki pemecah sunyi itu bertinggung di satu simpang jalan. Tidak ditemui wajah  anak yang dikhabarkan kepadanya terbunuh dalam rusuhan iutu.

            “Aku tahu apa yang kau inginkan, anakku. Tetapi sedarkan dunia ini amat kecil  untukmu…”

            Aku dengari suara lelaki itu lirih mengusung kecewa. Dia menangkup muka sambil membiarkan duka terpendam lama di dalam dada.

            “Wahai lelaki pemecah sunyi, maíz  ingatkah, kelekatu bersayap ungu? Bukalah mata batinmu. Alam ini untuk dihayati  bukan untuk dikesali apa yang terjadi. Jika benar anakmu terbunuh, sungguh benarlah engkau seorang ayah yang tidak sia-sia mendewasakannya. Dia menunaikan kewajipan untuk orang lain, bukan untuk dirinya sahaja.”

            “Maksud kamu?”

            “Setiap kita  tidak sama perjuangannya  walaupun berlari di atas jalan yang serupa. Kami mengejar lampu kerana bemusim dalam dunia yang kegelapan, di situ ada kebebasan dan kamu mencari lampu setiap malam kerana kamu tidak puas dengan waktu siang dan tidak mampu terus hidup dalam kegelapan.”

            “Kamu tidak sama dengan  kelekatu yang pernah aku temui. Kamu seperti tidak ghairah mengejar lampu dan kamu seperti ada di mana-mana, di desa dan di kota, di mana-mana sahaja aku berada.”

            “Kita sebenarnya terlalu dekat antara kening dengan bulu mata.”

            “Aku tak faham!”

 Babak R

Latar: Ruang dalam Sebuah  Rumah Kayu/Malam

Pelakon: Kelekatu/Pemecah Sunyi

Keperluan: Sebuah Pelita Minyak Tanah.

 Lelaki pemecah sunyi tidak senang duduk. Sebentar dia bangun, mengambil penyapu di penjuru, kemudian dia ke ruang rumah di mana terletak sebuah pelita bersumbu terliuk lintuk di tiup angin dari celah dinding rumah yang ternganga. Ribuan kelekatu yang patah sayap merayap di lantai papan rumahnya.

PEMECAH SUNYI: (Rimas sambil mengeluh) Menyusahkan. Mahu saja aku matikan pelita ini, aku tidak mampu berbuat apa-apa. Kalau aku biarkan, jutaan kelekatu akan menyerbu. Apa yang kau cari sebenarnya dari sinar lampu?

SANG ISTERI: (Keluar dari dapur sambil menghampiri) Biarkanlah. Tuhan jadikan ia untuk mengejar lampu. Mengapa kita tidak pernah mahu tahu?

PEMECAH SUNYI:    Kaulihat itu, sayap-sayap kelekatu yang patah itu mengotorkan lantai rumah ini. Kemudian kelekatu yang tidak boleh terbang itu merayap di lantai ini. Mereka menempah kematian.

SANG ISTERI: Kelekatu-kelekatu itu seperti anak-anak kita yang keluar dari perut bumi untuk mencari kebebasan.

PEMECAH SUNYI:  Tapi…kaulihat sendiri, akhirnya mereka tewas. Sayap-sayap mereka telah patah, tak mampu terbang lagi

 SANG ISTERI: Sekurang-kurangnya mereka sudah keluar dari kepompong dan ingin meneruskan perjuangan.

 PEMECAH SUNYI: Kau fikir, anak kita begitu?

 SANG ISTERI: Sekurang-kurangnya aku berbangga,  anak kita ada semangat memperjuangkan hak sebagai rakyat yang kemiskinan sedangkan beribu lagi yang hidup dalam kemewahan.

KELEKATU:   Kasihanlah kami, kami juga ingin hidup dalam dunia kamu.

Pemecah Sunyi terdiam. Seketika apabila terdengar salah seekor kelekatu persis mengharap simpatinya. Dibiarkan kelekatu yang patah sayap itu merayap di lantai kemudian merayap ke tubuh, wajah dan jidatnya.

Pagi itu ketika melihat sepotong langit biru, kelekatu bersayap ungu mendatangi dengan wajah sayu

“Anakmu, seperti kami. Sebelum kami keluar dari liang pertapaan, bagi  kami cahaya itu sebenarnya kebebasan tetapi apabila kami mendekati, lihatlah beribu-ribu kelekatu hilang kebebasan. Kau lihat sayap-sayap yang telah patah dan kami tidak mampu terbang lagi. Alangkah baiknya jika kami tidak keluar dari liang pertapaan dan kami sebenarnya lebih bebas dalam kegelapan…”

Babak S

Latar: Perkebunan Teh/Siang

Pelakon: Aku/ Pemecah Sunyi

Keperluan: Tukul untuk memecah batu

Lelaki pemecah sunyi itu tertegun memerhatikan aku yang tiba-tiba berada di sini ketika dia hendak memulakan kerja. Aku perhatikan  wajah lesu pemecah batu itu bagaikan bertahun  kesihatannya terganggu.    

AKU: Kamu masih ingat aku?

Lelaki pemecah batu itu menggeleng, bersuara juga tidak.

AKU: Aku yang sering perhatikan kamu yang setiap pagi memerhati kelekatu di atas batu itu. Kelmarin aku menjadi kelekatu dan kau telah perhatikan aku.

PEMECAH SUNYI: Aku bermimpi?

AKU: Tidak. Tapi sekarang aku telah tahu betapa aku perlu menjadi orang lain untuk mengetahui  kehidupan mereka.

PEMECAH SUNYI: Dan kau perlu menjadi aku?

AKU: Ya, satu saat yang lain. Alangkah tidak indahnya alam ini jika tidak ada pemecah sunyi, akan sunyilah alam ini.

PEMECAH SUNYI: Jangan, kerana aku tidak akan jual batu-batu ini lagi.  Mereka membeli batu-batuku itu untuk membuat nisan. Mereka membuat kekayaan daripada kematian orang lain.

Aku terdiam membuatku berfikir sejenak.

Ya, ada ketikanya, kita tidak semestinya perlu menjadi orang lain, jika hidup orang lain tidak ada bezanya daripada hidup kita.

Baru aku sedar, kalau mahu melihat  dunia sebenarnya, lihatlah perubahan yang lalu, sedang dan akan berlaku kerana dunialah yang selalu berubah. Namun sejak sekian  lama, akhirnya pemecah batu itu tidak akan lagi memecah sunyi.

 Akan sunyilah hidup ini.

Dewan Budaya, Disember 1999

 

                                           ooooOOOooo

 

.

2 Responses to Cerpen: Kelekatu Bersayap Unggu

  1. mey says:

    KELEKATU ITU APA SICH SEBENARNYA?

    • muhdnasruddin says:

      Kelkatu itu kalau ngomong Jawa di sini maknanya ‘sungklung’. Iaitu anai-anai yang tinggal
      di dalam busut. Bila hari hujan, anak-anak ini akan keluar sayap dan keluar dari tanah
      mencari lampu. Kan biasa pernah jumpa kalo malam ada binatang yang suka sama lampu.
      Kadang-kadangnya sayap itu patah, ngaak bisa terbang lagi. Itu namanya Kelkatu.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s