KEPERLUAN MENULIS DIALOG DALAM NOVEL

UNTUK satu-satu babak atau adegan di dalam novel, manakah yang lebih mudah menulis menggunakan dialog atau menulis secara naratif? Persoalan ini walaupun nampak remeh dan kecil tetapi mempunyai kesan terhadap pembacaan.

            Daripada kajian yang dilakukan, pembaca lebih gemar kepada novel yang ditulis dengan dialog kerana ia lebih cepat faham dan lancar serta cepat jalan cerita berbanding dengan penulisan secara naratif yakni berbentuk karangan.

            Bagaimanapun ia bergantung kepada adegan yang dipaparkan. Jika sesuatu adegan itu berbentuk pertemuan, perbincangan, pergaduhan, perdebatan dan yang seumpamanya di mana lazimnya diselang-selikan dengan aksi, lebih baik ditulis dengan dialog. Ketika dialog dituturkan, penulis boleh menggambarkan apakah reaksi atau aksi watak yang terbabit.

            Berbanding ketika penulis sedang membayangkan atau menuliskan mengenai isi dalaman watak yang tidak berkomunikasi dengan sesiapa, tentulah tidak wajar dituliskan dialog kerana watak berkenaan tidak bercakap dengan sesiapa kecuali jika bercakap dengan dirinya sendiri.

            Sebagai contoh adegan yang tidak melibatkan watak lain kecuali watak utamanya.

            Ketika Ulfah meninggalkan rumah itu, tidak ada yang difikirkan kecuali untuk mencari rumah sepupunya di sebuah taman perumahan yang tidak jauh dari situ. Tetapi masalahnya, dia sendiri tidak tahu apakah alamat rumah sepupunya itu dan dia sendiri tidak ada nombor telefon untuk dihubungi.

            Ketika fikirannya berkecamuk, barulah dia menyesal kerana selama ini dia tidak pernah berniat untuk meminta nombor telefon dan alamat tempat tinggal sepupunya itu.   Peristiwa yang menimpanya juga tidak pernah terlintas di fikirannya akan berlaku.

            Hanya setelah dihalau keluar dari rumah itu, barulah dia teringat untuk menghubungi sepupunya. Oleh kerana tidak ada cara lain, dia hanya berpandukan nama taman tempat tinggal sepupunya. Mujur juga dia tahu nama taman tempat sepupunya tinggal, jika tidak, dia sendiri tidak tahu ke mana hendak mengadu nasib.

            Sebaik sahaja sampai di jalan besar, dia segera menahan teksi dan meminta pemandu teksi itu menghantar  ke Taman Seri Puteri tempat sepupunya itu tinggal.  Sesampai sahaja di taman itu, Ulfah turun dari teksi dan termangu-mangu sendirian.

            Dia terpaksa bertanyakan  penghuni  rumah di taman itu sama ada mengenali sepupunya atau tidak. Lebih daripada enam orang ditemui tetapi mereka memberitahu tidak mengenali sepupunya itu. Tetapi Ulfah tidak berputus asa. Dia akan bertanya kepada lebih ramai orang selagi tidak bertemu dengan rumah sepupunya itu.

            Adegan di atas tidak banyak memerlukan dialog. Jika ada pun dialog dengan pemandu teksi atau orang-orang yang ditemui tetapi dialog seperti itu tidak perlu kerana ia akan habis di situ dan tidak akan wujud lagi pada adegan lain.

            Adegan atau babak di atas tidak memerlukan dialog kerana watak tidak berkomunikasi dengan sesiapa. Manakala jika watak  berkomunikasi dengan watak lain, sebaiknya gunakan menulis dengan dialog sahaja.

About muhdnasruddin

Writter
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s